Khairy: Mansuh sekolah vernakular cetuskan ‘hura-hara dasar’


shadow

Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berkata sudah terlambat untuk mewujudkan sistem pendidikan tunggal kerana ia patut dibuat pada 1957 – ketika Merdeka – atau 1963 – ketika penubuhan persekutuan Malaysia.

“Kalau kita mahu sistem pendidikan tunggal, kita patut sudah melaksanakannya pada 1957 (semasa Merdeka) atau 1963 (ketika Malaysia dibentuk), tetapi syarat persekutuan kita membenarkan sekolah vernakular.

“Apabila kita sudah membenarkannya, susah untuk kita menghapuskannya,” katanya seperti dipetik portal The Malaysian Insight.

Katanya lagi, persoalan mewujudkan sistem pendidikan tunggal bukan melibatkan sekolah vernakular saja tetapi juga sekolah aliran lain.

“Kalau hari ini ada orang berkata kita perlu ada satu saja sistem pendidikan, yang bermakna tiada lagi sekolah Cina dan Tamil, akan ada nanti orang yang bertanya bagaimana pula dengan madrasah dan sekolah pondok? Kena hapuskan juga.

“Bagaimana pula dengan ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah antarabangsa dan swasta?” soalnya seperti dipetik portal The Malaysian Insight.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan hadirin sebuah forum semalam, berkenaan sama ada sekolah vernakular patut dikekalkan.

“Ia akan menyebabkan huru-hara dari segi dasar, dan huru-hara juga dari segi politik. Saya rasa itu tidak boleh,” katanya lagi.

Justeru, beliau menggesa semua pihak berusaha untuk mejadikan sekolah kebangsaan sebagai pilihan utama para ibu bapa.

Antara kritikan utama terhadap sistem pendidikan vernakular ialah ia menjadi penghalang kepada perpaduan rakyat kerana memisahkan pelajar pelbagai kaum.

Forum itu turut menampilkan Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong dan Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar.

Memetik laporan itu lagi, Liew berkata prasangka terhadap sekolah vernakular boleh diatasi jika rakyat Malaysia melihat semua bahasa ibunda sebagai warisan kebudayaan negara.

“Apabila kita tidak lagi curiga pada bahasa lain, apabila kita tidak lagi curiga antara satu sama lain, tetapi melihat semua bahasa sebagai warisan bangsa, apabila kita bertutur pelbagai bahasa, persoalan sekolah satu aliran tidak akan timbul,” katanya yang juga pengarah biro pendidikan politik DAP.

Katanya, sesetengah sekolah jenis kebangsaan Cina kini menjadi “lebih kebangsaan” kerana mempunyai ramai murid bukan daripada kaum itu.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda