Keuntungan bersih Tropicana naik kepada RM39.02 juta


shadow

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih pemaju hartanah Tropicana Corporation Bhd naik kepada RM39.02 juta dalam suku kedua berakhir 30 Jun 2019 daripada RM38 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelum ini.

Pendapatan adalah lebih tinggi pada RM299.45 juta berbanding RM281.43 juta, didorong oleh pengebilan berperingkat yang lebih baik merentasi beberapa projek utama kumpulan yang sedang dilaksanakan.

Bagi tempoh enam bulan, Tropicana mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak RM85.09 juta daripada RM84.4 juta walaupun perolehan berkurangan sebanyak RM509.22 juta berbanding RM734.43 juta yang direkodkan sebelumnya.

Tropicana dalam satu kenyataan hari ini, berkata ia berada dalam kedudukan yang mantap untuk menyampaikan prestasi pendapatan yang mampan dengan jualan yang belum dibilkan berada pada tahap RM830.6 juta.

Ia ditunjangi oleh 14 projek yang sedang berjalan dan pendekatan strategik bagi membuka nilai tanah berkeluasan 433.4 hektar di seluruh Lembah Klang, Genting dan wilayah selatan dengan potensi nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM48.6 bilion.

Kumpulan itu akan terus memberi tumpuan kepada strategi pacuan pasaran untuk separuh kedua tahun kewangan 2019, dengan melancarkan satu siri projek baharu yang memiliki GDV sebanyak lebih kurang RM3 bilion dalam kawasan perbandaran sedia ada dan baharunya.

Projek-projek itu dijangka akan memacu prestasi yang lebih kukuh dan membawa Tropicana ke fasa pertumbuhan yang seterusnya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda