Keluarga Nora Anne harap dapat rungkai kematian tragis


shadow

Keluarga Nora Anne Quoirin, remaja warga Ireland berusia 15 tahun yang ditemui mati pada Selasa setelah hilang selama 10 hari dari sebuah resort yang diselubungi hutan hujan menaruh harapan untuk mendapat jawapan bagi merungkai misteri kehilangannya.

Keluarga itu berkata demikian semasa menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang membantu keluarga itu ketika berdepan saat-saat sukar menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Lucie Blackman Trust, sebuah badan amal Britain yang membantu rakyatnya semasa menghadapi krisis di luar negara.

“Hari ini Timbalan Perdana Menteri Malaysia (Dr Wan Azizah Wan Ismail) dan Exco Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan (Nicole Tan Lee Koon) menziarahi keluarga kami. Kami berpeluang untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka atas apa yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia, pasukan polis, pasukan mencari dan menyelamat, penduduk tempatan dan sukarelawan untuk membantu kami.

“Tragis, seperti yang kita tahu, ini tidak cukup untuk menyelamatkan Nora. Keputusan bedah siasat bedah telah memberikan beberapa maklumat yang membantu kita memahami punca kematian Nora.

“Tetapi anak gadis yang tidak berdosa ini mati dalam keadaan yang sangat kompleks dan kami berharap bahawa tidak lama lagi kami mendapat lebih banyak jawapan bagi banyak persoalan. Kami masih berusaha untuk memahami situasi yang berlaku dalam 10 hari yang lepas,” kata keluarga itu.

Menurut kenyataan itu, keluarga berkenaan juga mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Malaysia atas sokongan dan kerjasama yang berterusan dengan kerajaan dan polis antarabangsa ketika siasatan mengenai elemen jenayah dan kes orang hilang masih berjalan.

“Kami akan membawa balik mayat Nora untuk disemadikan, berdekatan dengan keluarga tercinta di Perancis dan Ireland,” kata keluarga itu.

Nora Anne bersama ibu bapanya, Sebastien Marie Philipe dan Meabh Jaseprine Quoirin, tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di resort penginapan itu pada 3 Ogos, sehari sebelum remaja tersebut dilaporkan hilang.

Laporan bedah siasat semalam mendapati kematuian Nora Anne tidak mempunyai unsur jenayah dan mengesahkan bahawa remaja perempuan itu mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh panjang dan tekanan yang berpanjangan.

– Bernama

Tinggalkan komen anda