Kelantan nafi buka gelanggang untuk petinju wanita


shadow

Kelantan tidak pernah membuka gelanggang pertarungan kepada petinju wanita untuk pertunjukan dan aktiviti berasaskan keuntungan dalam sukan muay thai, kata exco negeri itu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat, berkata seperti yang ditegaskan sebelum ini negeri itu sentiasa serius dalam pelaksanaan acara sukan agar ia berstatus patuh syariah.

“Kerajaan negeri tidak pernah membuka gelanggang pertarungan kepada petinju wanita untuk pertunjukan dan aktiviti berasaskan keuntungan dalam sukan muay thai seperti kenyataan presiden Persatuan Boksing Negeri Kelantan (PSBNK),” katanya dalam kenyataan media di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden PSBNK Dr Mohd Fared Abdul Ghani pada 22 Ogos lalu berhubung perkara itu. 

Mohd Fared berkata, Kelantan mencipta sejarah apabila buat julung kalinya membenarkan petinju wanita bertarung dalam kejohanan di negeri berkenaan.

Sementara itu Wan Roslan berkata, kenyataan yang dibuat oleh Mohd Fared itu mungkin berlandaskan penyertaan Kelantan dalam Sukma 2018 dan Karnival Sukan Kelantan 2019.

“Oleh yang demikian, adalah tidak adil menyatakan keputusan berkenaan berdasarkan perkara tersebut.

“Kendatipun begitu, segala perlawanan dan pertunjukan yang dilaksanakan adalah tertakhluk kepada undang-undang dan peraturan sedia ada,” jelasnya. 

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda