Kekalkan keamanan negara


shadow

UMAT Islam di negara ini perlu menyedari Islamlah menjadi sebab datangnya rahmat dan nikmat daripada Allah SWT untuk seluruh rakyat Malaysia.

Sekiranya umat Islam tidak mengambil berat kedudukan dan kesucian Islam, tidak mustahil nikmat yang dikecapi selama ini boleh hilang.

Hal itu sepertimana hilangnya nikmat yang pernah dinikmati penduduk Saba’ kerana keingkaran mereka terhadap ketetapan Allah SWT.

Firman Allah SWT bermaksud: “Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan, dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya, dan pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara.” (Surah Saba’, ayat 16)

Amaran yang dinyatakan Allah SWT itu sangat jelas bagi penduduk Saba’ yang dengan terang mengkufuri kurniaan-Nya dan mengengkari ketetapan-Nya.

“Demikianlah Kami membalas mereka disebabkan kekufuran mereka dan sebenarnya Kami tidak menimpakan balasan yang demikian melainkan kepada golongan yang amat kufur.” (Surah Saba’, ayat 17)

Dalam konteks Malaysia, rakyat hidup dalam kelompok manusia yang memiliki kepelbagaian.

Tidak semua rakyat Malaysia beragama Islam dan berbangsa Melayu. Walaupun begitu, rakyat Malaysia dapat tinggal dalam satu negara dengan aman dan harmoni.

Islam tidak membenarkan manusia bertelingkah sesama sendiri sedangkan mereka sebelumnya menikmati pelbagai kesenangan dalam hidup.

Nikmat keamanan dan keharmonian hidup dalam negara ini pastinya hasil daripada penerapan nilai murni dalam kehidupan setiap rakyat.

Nilai murni itu sememangnya ditekankan Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia.

Islam tidak pernah mengetepikan hak orang lain meskipun mereka terdiri daripada golongan yang tidak beriman dengan kebenaran Islam.

Jelas, sejak Islam ditetapkan sebagai agama Persekutuan di Malaysia, semua hak agama lain tidak dinafikan kerana masing-masing bebas mengamalkan agama mereka.

Persefahaman itulah yang perlu dikekalkan setiap rakyat Malaysia. Sepertimana Islam tidak menafikan ruang mereka mengamalkan kepercayaan mereka, begitulah sebaliknya jangan ada yang cu-
ba untuk ‘mengusik’ kedudukan Islam yang tinggi dalam negara ini.

Dalam usaha Malaysia bergerak maju seiring negara hebat lain, rakyat Malaysia perlu berganding bahu untuk bersama-sama mencapai wawasan negara.

Setiap rakyat perlu berusaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang baik. Terlalu banyak nikmat dianugerah Allah SWT untuk negara ini hasil kekayaan sumber darat dan lautnya.

Semuanya menjadi asbab perlunya rakyat memelihara keberkatan yang dianugerahkan Ilahi.

Allah SWT berfirman tatkala menyifatkan Saba’ sebagai sebuah negeri yang baik, maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba’, satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka iaitu dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (negeri mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): Makanlah daripada rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya, (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun.” (Surah Saba’, ayat 15)

Kurniaan negara yang aman serta dilimpahi keberkatan rezeki daripada pelbagai sumber perlu disyukuri setiap masa.

Keharmonian hidup bernegara yang dinikmati sejak sekian lama oleh rakyat Malaysia tidak boleh dicemari dengan isu sempit yang merugikan semua pihak.

Sejak puluhan tahun lalu tatkala Islam menjadi agama utama negara Malaysia, segala kenikmatan dirasai semua penduduknya.

Maka, janganlah nikmat itu digadai semata-mata tunduk dengan bisikan jahat pihak tertentu yang tidak senang dengan keharmonian hidup rakyat Malaysia.

Apatah lagi jika usaha jahat itu ingin menggoyang kedudukan Islam sebagai agama persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Keberkatan yang dinikmati ini adalah hasil kebijaksanaan pemimpin terdahulu yang meletakkan Islam pada tempat paling tinggi dalam negara ini.

Kekufuran atas nikmat yang dikurniakan Allah SWT mendatangkan kebinasaan bukan sahaja kepada kelompok tertentu, sebaliknya membabitkan semua pihak.

Dalam keadaan Islam yang menekankan hubungan baik sesama manusia termasuk bukan Muslim, segala perkara yang mencetuskan perbalahan bukanlah daripada ajaran Islam.

Sesuai dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini iaitu Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih, umat Islam perlu menzahirkan rasa cinta dan sayang kepada negara ini dengan merapatkan saf bagi mengukuhkan kedudukan Islam.

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

-myMetro

Tinggalkan komen anda