Kecuali KLIA, PSC penerbangan antarabangsa dipotong kepada RM50


shadow

Kerajaan telah mengurangkan caj perkhidmatan penumpang (PSC) bagi penerbangan antarabangsa kepada RM50 di semua lapangan terbang di Malaysia, kecuali Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kadar baru itu akan berkuatkuasa pada 1 Oktober ini.

Sejajar dengan kadar baru itu, yang juga membabitkan KLIA2, penumpang yang telah membayar PSC sebanyak RM73 penerbangan bermula 1 Oktober dan seterusnya, boleh menuntut bayaran balik daripada syarikat penerbangan masing-masing.

Kadar PSC untuk penerbangan domestik dan ke negara-negara Asean di semua lapangan terbang dikekalkan masing-masing pada RM11 dan RM35.

Ditanya mengapa bayaran di KLIA tidak dikurangkan, Loke berkata ini kerana ia adalah “lapangan terbang premium.”

“KLIA adalah lapangan terbang premium. Perlu ada perbezaan di antara lapangan terbang premium dan lapangan terbang lain. Saya rasa kebanyakan orang boleh bersetuju bahawa tahap infrastruktur adalah berbeza.

“Maksud saya, kamu tidak boleh membandingkan KLIA dengan lapangan terbang Langkawi yang tidak mempunyai aerobridge,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Melangkah ke hadapan, beliau berkata Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) akan mewujudkan rangka kerja, di mana kadar PSC di semua lapangan terbang akan bergantung kepada infrastruktur dan kemudahannya, berbanding dengan kadar yang seragam.

Sementara itu, menteri berkenaan turut menafikan kadar PSC baru yang diperkenalkan itu berkaitan dengan pertikaian antara syarikat penerbangan tambang murah AirAsia dan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).

“Tidak, ini tidak ada kaitan dengan pertikaian MAHB-AirAsia. Mereka perlu menyelesaikan pertikaian mereka sendiri, pengumuman ini tidak berkaitan dengan pertikaian mereka,” katanya.

Loke berkata beliau berharap kadar baru PSC bagi penerbangan antarabangsa akan menggalakkan sektor pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 dan menarik lebih banyak syarikat penerbangan untuk beroperasi di negara ini.

Beliau berkata pengurangan kadar PSC itu dilakukan dengan mengimbangkannya dengan bayaran pengguna.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda