‘Jika rumah MB kurang cermin, saya sedia sumbangkan’


shadow

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Armand Azha Abu Hanifah membidas Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berhubung kenyataannya yang meminta presiden Umno bercermin diri sebelum mencampuri urusan parti politik lain.

Sebaliknya Armand berkata Amirudin yang sepatutnya bercermin diri dan beliau sendiri sanggup menyumbangkan cermin kepada pengerusi PKR Selangor itu bagi tujuan tersebut.

“Kepada Amirudin yang juga Pengerusi PKR Selangor, saya dan jutaan rakyat Malaysia bersependapat bahawa yang sebenarnya harus bercermin diri ialah diri anda (Amiruddin) dan kepimpinan PH.

“Jika rumah atau pejabat menteri besar kekurangan cermin, saya sedia menyumbangkan cermin untuk kegunaan menteri besar bagi beliau cermin dahulu muka sebelum mengeluarkan kenyataaan,” kata Armand dalam satu kenyataan.

Semalam Amirudin meminta Ahmad Zahid bercermin diri selepas anggota parlimen Bagan Datuk itu mendakwa  perdana menteri ketika ini bersendirian dalam Pakatan Harapan (PH).

Menurut Amirudin yang juga Pengerusi PKR lagi, Ahmad Zahid sepatutnya bimbangkan keadaan politik Umno selepas ramai ahlinya keluar parti dan menyokong kepimpinan kerajaan PH di bawah Dr Mahathir.

Mengulas lanjut, Armand yang juga Ketua Umno Bahagian Subang berkata adalah lebih baik Adun Sungai Tua itu menyelesaikan masalah Selangor dan partinya sebelum mahu mempertikaikan Ahmad Zahid.

“Sudah tiga penggal Pakatan memerintah Selangor, masalah air masih tidak selesai lagi sehingga kini. Takkan masih nak salahkan Barisan Nasional (BN) walaupun sudah tiga penggal.

“Cukai pintu, cukai perniagaan dan pelbagai cukai baru makin meningkat terutama di Selangor,” katanya.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda