Jawatankuasa MA63 setuju serah kuasa urus tadbir dua pulau


shadow

Jawatankuasa Khas Kabinet yang menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), antara lain bersetuju supaya penyerahan kuasa urus tadbir Pulau Sipadan dan Ligitan khususnya berkaitan pelancongan diserahkan kepada kerajaan negeri.

Pejabat Perdana Menteri, dalam satu kenyataan hari ini, berkata persetujuan itu adalah antara lapan perkara yang telah mendapat persetujuan bersama.

“Isu teknikal dan keselamatan sedang diperhalusi,” kata kenyataan itu.

Majlis Keselamatan Negara mengambil-alih pengurusan pulau-pulau itu berikutan penculikan 21 orang oleh kumpulan pelampau Abu Sayyaf pada tahun 2000.

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan keputusan dibuat pada 23 Julai, iaitu pada mesyuarat keempat sejak penubuhannya.

Keputusan lain termasuk perjanjian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk menyerahkan hak pengedaran gas dan kuasa kawal selia elektrik dan gas kepada kerajaan negeri mengikut Distribution Gas Ordinance (DGO) Sarawak 2016.

“Manakala kerajaan negeri Sabah pula bersetuju untuk melaksanakan due diligence sebelum penyerahan kuasa kawal selia gas dan elektrik dilakukan,” katanya.

Menurut PMO, kerajaan persekutuan juga secara prinsipnya tiada halangan melaksanakan tuntutan berhubung penurunan kuasa kepada kerajaan negeri Sarawak dan Sabah bagi membuat perundangan subsidiari mengenai “labour conditions peculiar to the state” di bawah Ordinan

Buruh negeri masing-masing.

Tindakan juga sedang diambil bagi meminda Ordinan Buruh negeri masing-masing, katanya.

Ketiga-tiga pihak – kerajaan persekutuan, kerajaan negeri Sarawak dan Sabah – turut bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Libat Urus secara berkala untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan isu pengurusan kesihatan Negeri Sarawak dan Sabah.

Mengenai tuntutan duti eksport balak dan hasil hutan, PMO berkata, perkara itu dipersetujui sebagai selesai berikutan keputusan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sabah masing-masing memberi persetujuan delegasi kuasa kepada Jabatan Perhutanan Sabah sejak Jun 2017.

Jawatankuasa Khas Kabinet itu terdiri daripada 23 anggota. Selain perdana menteri, menteri kabinet, termasuk ketua-ketua menteri di Sabah dan Sarawak, turut menganggotai mesyuarat itu adalah pegawai-pegawai kanan kerajaan persekutuan, Sabah dan Sarawak.

Mesyuarat pertama telah diadakan pada 17 Disember 2018 dan 21 isu telah diterima oleh Jawatankuasa Khas Kabinet ini untuk diteliti dan dikaji.

Daripada jumlah itu, 13 isu tuntutan dikenal pasti sebagai isu bersama melibatkan kerajaan negeri Sarawak dan Sabah manakala lapan isu lain melibatkan tuntutan kerajaan negeri Sabah sahaja.

“Sehingga Julai 2019, tujuh isu telah mendapat persetujuan bersama manakala empat belas isu masih memerlukan perbincangan lanjut dan dijangkakan akan diputuskan sebelum 31 Ogos 2019,” katanya.

Menurut PMO, rundingan itu adalah selaras dengan Janji 40 yang terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan melalui persetujuan jemaah menteri pada 5 September 2018 untuk menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda