Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) menjelaskan bahawa pihaknya tidak mempunyai kuasa meluluskan permohonan penganjuran konsert penyanyi India SP Balasubrahmanyam yang jatuh pada sambutan Maal Hijrah pada 31 Ogos ini.
Sebaliknya, menurut Jakim, pihaknya sekadar memberikan pandangan dan nasihat berdasarkan sudut agama berhubung kesesuaian waktu konsert tersebut.
Ini memandangkan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) yang telah meminta pandangan terhadap penganjuran konsert itu.
“Memandangkan Jakim bukanlah pihak berkuasakan yang meluluskan permohonan penganjuran acara seumpama ini, Jakim memberi pandangan dan nasihat dari sudut agama mengenai kesesuaian waktu penganjuran konsert tersebut sahaja.
“Pandangan Jakim ini sebagai panduan selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan kepada Puspal yang mempunyai kuasa mutlak untuk meluluskan atau sebaliknya berdasarkan peraturan dan undang-undang yang sedang berkuatkuasa.
“Jakim ingin tegaskan bahawa keputusan ini telah dibuat oleh Puspal secara konsensus bersama agensi-agensi lain sebagai ahli Puspal,” menurut kenyataan Jakim hari ini.

Puspal adalah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang memberi kelulusan untuk persembahan artis dari luar negara.
Penganjur konsert itu, Raaghav Production telah bersetuju mengawalkanwaktu konsert yang akan diadakan di Plenary Hall KLCC, daripada jam 7.30 petang kepada kepada pukul 3 petang.
Ia susulan daripada kebimbangan yang dibangkitkan Puspal dan Jakim penganjuran konsert selepas 7.30 petang akan mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan orang Islam yang boleh menyebabkan kontroversi kaum.
“Sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam di negara ini, Jakim telah memberi pandangan bahawa memandangkan tarikh 1 Muharram 1441H yang merupakan hari kebesaran Islam, bermula pada terbenam matahari 31 Ogos 2019 sehingga terbenam matahari 1 September 2019, adalah wajar konsert-konsert hiburan pada waktu tersebut dipinda ke tarikh atau waktu yang lain,” kata Jakim.
- malaysiakini
Tinggalkan komen anda