Isu lif jatuh: Tiada kompromi!


shadow

KERAJAAN mempertimbang untuk memasang lif lebih besar dan tahan lasak di kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) seperti digunakan di hospital pada masa depan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata, selain penumpang, lif berkenaan mampu membawa bebanan berat penduduk ketika berpindah selain tahan lasak, sekali gus mampu mengelak berlakunya kemalangan.

Menurutnya, kementeriannya tidak akan berkompromi dalam aspek penyelenggaraan lif terutama di semua PPR di bawah seliaan pihaknya bagi memastikan keselesaan serta keselamatan orang ramai.

Beliau berkata, kontraktor yang diberi tanggungjawab menyelia lif di bawah jagaan DBKL perlu mendapat kelulusan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan menjadi kesalahan jika tidak menjalankan tanggungjawab dengan betul.

“Kejadian itu (lif terjatuh di Blok C, PPR Kerinchi) tidak sepatutnya berlaku kerana setiap lif mempunyai sistem kawalan keselamatan tersendiri dan ini sangat penting bagi mengelak kejadian sama berulang pada masa depan.

“Kita menunggu hasil siasatan JKKP bagi mengetahui punca kejadian dan jika berlaku kecuaian, tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pihak kontraktor terbabit,” katanya kepada media selepas hadir Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Putrajaya, hari ini.

Hadir sama timbalannya, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Khalid berkata demikian ketika mengulas laporan mengenai DBKL mahu kontraktor penyelenggara lif di 45 PPR membawa bersama wakil JKKP ketika pemeriksaan setiap bulan.

Perkara itu diputuskan dalam pertemuan khas antara DBKL diketuai Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dengan kontraktor penyelenggara semalam, susulan kejadian lif terjatuh di Blok C PPR Kerinchi yang mencederakan lapan individu, kelmarin.

Berdasarkan amalan sebelum ini, hanya pihak kontraktor membuat pemeriksaan lif pada setiap bulan manakala pegawai JKKP membuat lawatan ketika hendak mengeluarkan surat perakuan yang lazimnya bagi tempoh dua tahun.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, beliau difahamkan di dalam lif di PPR Kerinchi itu turut dibekalkan sistem kotak hitam serta kamera litar tertutup (CCTV) dan siasatan serta analisa berkaitan kejadian berkenaan akan dilakukan JKKP.

Beliau juga bersetuju dengan saranan DBKL supaya kontraktor penyelenggara lif membawa bersama wakil JKKP ketika pemeriksaan pada setiap bulan bagi memastikan lif sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat.

Terdahulu, Kempen Kibar Jalur Gemilang diadakan itu serentak dengan program Car Free Day (CFD) Putrajaya selain dianjurkan Merdeka Fun Run sejauh lima kilometer.

Pada majlis sama, 6,000 Jalur Gemilang turut diserahkan kepada Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Putrajaya bertepatan dengan pemilihan kali kedua Putrajaya sebagai lokasi penganjuran Sambutan Hari Kebangsaan 2019.

-myMetro

Tinggalkan komen anda