Husni: Saya diberi amaran akan serangan Raja Petra jika cemuh Najib


shadow

KES NAJIB l Bekas menteri kewangan II Ahmad Husni Hanadzlah mendakwa beliau telah diberi amaran tentang kemungkinan serangan daripada penulis blog Raja Petra Kamaruddin jika beliau enggan berjumpa dengan perdana menteri ketika itu, Najib Razak pada 2016.

Husni berkata ini disampaikan kepadanya oleh ketua setiausaha sulit kepada Najib, Shukry Mohd Salleh selepas menyampaikan ucapan pedasnya mengenai 1MDB di Dewan Rakyat pada 24 Oktober 2016, empat bulan selepas meletak jawatan sebagai seorang menteri.

Memberi keterangan sebagai saksi ke-56 dalam perbicaraan rasuah Najib, Husni berkata Shukry melawatnya di rumahnya setelah beliau menyampaikan ucapannya.

“Selepas memberi ucapan, saya pulang. Saya di rumah bersama isteri dan kemudian Tan Sri Shukry tiba pada pukul 10 malam.

“Dia kata, ‘Najib minta saya melawatnya, Najib mahu berjumpa kamu malam ini’ tapi saya kata saya letih’.

“Dia kata ‘Najib telah berbincang dengan seseorang dan mereka telah menghubungi Raja Petra, esok mereka akan serang kamu, mari kita lawat Najib’,” katanya.

Bagaimanapun, Husni tidak berjumpa Najib pada hari itu dan beliau berkata serangan itu bermula, dengan anaknya, Khalid Ahmad Husni menjadi sasaran pertama.

Serangan Raja Petra

Pada 25 Okt 2016, sehari selepas ucapan Husni, Raja Petra menerbitkan satu artikel bertajuk: “Dua bilion alasan mengapa Husni serang Najib semalam”.

Artikel itu menerbitkan agenda mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, yang memaparkan kehadiran Khalid, mewakili New Pantai Expressway (NPE). Mesyuarat itu akhirnya menolak cadangan melanjutkan NPE, yang bernilai RM2 bilion.

“Bayangkan minit mesyuarat itu sampai ke Raja Petra, dia menerbitkannya di Facebook dengan mengatakan bahawa saya marah kerana anak saya tidak mendapat projek RM2 bilion dari Najib,” katanya.

Beliau berkata ini akhirnya menyaksikan anaknya dipecat daripada NPE.

Pada hari berikutnya, pada 26 Okt 2016, Raja Petra menerbitkan pula artikel bertajuk: “Mungkin Husni terlupa tentang skandal seksnya”.

Selain itu, Husni berkata hakikat bahawa akhbar Utusan Malaysia yang dimiliki oleh Umno menyiarkan beberapa artikel yang menyerangnya, walaupun hanya merujuk kepadanya sebagai “bekas menteri”. Beliau kemudian merumuskan bahawa Najib di belakang serangan itu.

“Pada Oktober atau November (2016) saya menghantar mesej kepada Najib, bertanya kepadanya ‘Apa ini?’

“Najib kemudian jawab ‘Bincang dengan Nazri Aziz’.

“Saya hantar mesej kepada Najib, Najib suruh saya bercakap dengan Nazri, saya jawab saya tidak tak dapat bercakap dengan Nazri kerana dia di luar negara. Kemudian keesokan harinya, tidak ada lagi serangan,” kata Husni ketika disoal balas oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda