Harimau-harimau Malaya sebenar


shadow

ULASAN| Menjelang 31 Ogos, pada setiap tahun, warganegara Malaysia seluruh dunia menyambut Hari Merdeka.

Ia mungkin dianggap kurang bermakna di Sabah dan Sarawak namun signifikan 31 Ogos tetap ada memandangkan tarikh tersebut adalah suatu langkah permulaan untuk misi memerdekakan negeri-negeri Malaysia di pulau Borneo dari pengaruh kuasa Barat.

Tidak kira di mana ia bermula atau bila, yang penting ialah matlamat akhirnya serta pengisian kemerdekaan itu sendiri.

Kerana itu wajar seluruh rakyat Malaysia menghargai tarikh 31 Ogos tidak kira siapa anda dan dari mana anda berasal.

Menyentuh soal kemerdekaan, ia tidak lengkap tanpa menyebut watak-watak hero dan heroinnya.

Orang Melayu khususnya lebih kerap didendang kisah Hang Tuah, Kiyai Salleh, Leftenan Adnan, Tok Janggut atau Merong Mahawangsa.

Namun lebih banyak lagi kisah-kisah hebat serta watak-watak perwira serta srikandi negara yang dilupakan.

Orang kita lebih gemar mengetahui dan hanya menyanjung watak-watak dari negeri atau keturunan sendiri.

Sasaran artikel sejarah seperti ini ialah agar muda-mudi warganegara Malaysia atau Indonesia, tidak kira kaum dan agama, terutama mereka yang mengaku berpendidikan tinggi, supaya menghargai nilai-nilai perjuangan orang-orang terdahulu.

Ini demi mempertahankan negara kita yang tercinta, juga rantau Nusantara, dari dinodai oleh kuasa asing yang licik serta zalim.

Dari sejarah jualah kita belajar mengenali asal-usul sesuatu bangsa tersebut, menginsafi kekurangan yang berlaku, serta belajar dari kehebatan yang pernah dicapai.

Oleh yang demikian mari kita hayati secebis kisah-kisah sejarah serta watak-watak pejuang bangsa dan negara:

Persekutuan Patani Raya (Patani Besar) yang diasaskan oleh Raja Sakti I dari Kelantan mengalami serangan bangsa Thai yang pada waktu tersebut membentuk kerajaan baru mereka melalui Dinasti Chakri yang berpusat di Thonburi (dalam kawasan Bangkok sekarang).

Kota Ayutthaya mereka telah pun runtuh diserang bangsa Burma pada 1767.

Serangan Thai pada negeri-negeri Melayu Jawi

Dalam zaman tersebut, pendakwah-pendakwah Islam yang berasal dari Pasai (Aceh sekarang) giat menyebarkan ajaran Islam kepada Melayu Jawi di Kelantan dan Patani.

Sungguhpun Islam hadir lebih awal di Kelantan-Patani, namun pada zaman kerajaan Persekutuan Patani Rayalah, aktiviti pengislaman masyarakat Melayu Jawi makin rancak dan agak menyeluruh.

Serangan Thai menyebabkan beberapa negeri-negeri Melayu Jawi yang berjiran dengan Patani seperti Ligor (kini Nakhon Si Thammarat), Singgora (kini Songkhla) dan Petaling (kini Phatthalung) berjaya ditawan penjajah itu.

Patani menjadi “negara perlindungan” bagi pelarian-pelarian Melayu Jawi dari sekitar Segenting Kra dan utara semenanjung yang sedang diperangi tentera Thai Dinasti Chakri.

Pada tahun 1785, tentera Thai menyerang Patani. Pasukan tentera Melayu Persekutuan Patani Raya berjuang berhabis-habisan hingga lebih kurang setahun barulah Thai berjaya menumpaskan kubu pertahanan Kota Raja di Patani.

Sultan Muhammad iaitu sultan Patani ketika itu syahid di medan perang. Akibat kekalahan itu, seramai 4,000 orang Melayu Jawi dari Patani dijadikan tawanan dan dibawa ke Bangkok sebagai hamba tebusan.

Kejatuhan wilayah Patani tersebut melambangkan runtuhnya Persekutuan Patani Raya yang tertubuh lebih 180 tahun serta hilangnya perisai atau benteng pertahanan sfera alam Melayu di utara semenanjung dan Segenting Kra.

Maka Semenanjung Tanah Melayu terdedah kepada penjajahan berskala besar Thai yang berpusat di Bangkok.

Cik Siti Wan Kembang, gambaran artis, foto Wikipedia

 Sesungguhnya bangsa Thai ketika itu amat berdendam dengan Melayu, secara spesifiknya dengan Melayu Jawi.

Ratusan tahun sebelum itu, di awal abad ke-14, sebelum Langkasuka yang berpusat di Patani muncul sebagai empayar (Chermin), seorang puteri Melayu Jawi bernama Arduja Wijaya Mala Singha (Che Siti Wan Kembang I) bukan saja berjaya menangkis serangan Thai Sukhothai, malah memenggal kepala rajanya Ram Khamhaeng dalam pertempuran sengit di sekitar Segenting Kra.

Arduja ialah srikandi perang terlatih dan pernah menubuhkan pasukan tentera elit wanita, yang pertama dalam sejarah Nusantara.

Arduja mahir menggunakan senjata kegemarannya rencong. Hingga ke hari ini pihak Thai tidak menceritakan secara terperinci dan berfakta bagaimana tokoh raja zaman silam mereka mati.

Suasana genting di Selatan

Watak Puteri Arduja tersebut ada dicatatkan oleh Ibn Battuta, seorang pelayar Arab terkenal yang datang ke Nusantara pada zaman itu.

Situasi genting turut terjadi di selatan semenanjung ketika wujudnya empayar Johor-Riau-Lingga (sezaman dengan Persekutuan Patani Raya).

Penjajah Belanda sedang berusaha menawan wilayah Riau, menyebabkan penentangan jihad oleh Yang Dipertuan Muda Johor-Riau-Lingga ketika itu bernama Raja Haji Fisabilillah Ibni Daeng Chelak, bersama para pengikutnya.

Raja Haji juga adalah seorang pahlawan Bugis yang lahir di Riau. Raja Haji bersama tentera Melayu Empayar Johor-Riau-Lingga pernah melancarkan serangan terhadap tentera Belanda yang berkubu di Kota Melaka.

Namun pada 1784, beliau syahid di medan perang ketika mengetuai serangan terhadap Belanda di Teluk Ketapang, Melaka.

Cucunya, Raja Ali Haji Bin Raja Haji Ahmad merupakan seorang ulama, sejarawan serta sasterawan yang menghasilkan kamus bahasa Melayu moden pertama (Pedoman Bahasa) yang dijadikan asas pembentukan bahasa Indonesia.

Menjelang abad ke-20, Yang Dipertuan Muda Riau, Raja Ali Kelana bin Sultan Muhammad Yusuf al-Ahmad yang berkuasa ketika zaman terpisahnya Johor daripada Riau-Lingga akibat perjanjian Inggeris-Belanda 1824, menghantar delegasi diplomatik untuk menemui wakil empayar Turki Uthmaniyyah pada tahun 1883, 1895 dan 1905.

Baginda ditemani oleh tokoh ulama terkenal Patani, Syeikh Wan Ahmad Al-Fathoni, sebagai usaha untuk membebaskan Riau dari penjajahan Belanda.

Oleh kerana hubungan baik antara Melayu Johor-Riau-Lingga dengan Melayu Jawi dari Kelantan-Patani, maka persembahan tarian Mak Yong juga pernah dijadikan tarian rasmi istana di Johor dan Riau ketika itu.

Ia masih dibudayakan di Riau hingga ke hari ini.

Kembali kepada situasi di Patani, setelah runtuhnya Persekutuan Patani Raya akibat serangan berterusan dari Thai dinasti Chakri yang berpusat di Bangkok, Melayu Jawi dipecah perintah oleh penjajah tersebut mengikut daerah-daerah yang terpisah secara pentadbirannya.

Setiap daerah itu diletakkan pemerintah boneka kepada bangsa Thai. Sungguhpun begitu terdapat pemberontakan di kalangan pemerintah Melayu Jawi tersebut.

Tidak kurang juga yang jadi pengkhianat kepada bangsa sendiri kerana gilakan kuasa. Kedah juga banyak kali diserang oleh Thai hingga turut terjajah sama.

Boneka-boneka Thai

Malah sepertimana Ligor di Segenting Kra yang menjadi boneka Bangsa Thai untuk melancarkan serangan terhadap Patani, kerajaan Kedah juga pernah menjadi boneka Thai supaya menyerang Perak.

Ketika negeri-negeri Melayu di utara semenanjung dan Segenting Kra menghadapi penjajahan Thai, negeri-negeri di selatan serta barat semenanjung pula sedang bergasak dengan pengaruh kuasa barat terutama oleh kedatangan Inggeris.

Maka pada tahun 1909, satu perjanjian antara Inggeris dengan kerajaan Thai diadakan untuk memuktamadkan kawasan jajahan masing-masing di Tanah Melayu ini.

Akibat dari perjanjian itu, Melayu Jawi dipisahkan secara geopolitik. Kelantan kini di bawah kekuasaan Empayar British manakala Patani, Menara, Singgora, Jala, Cahaya, Petaling, Grahi dan Ligor di Segenting Kra menjadi milik Thai.

Semua nama-nama Melayu kawasan yang dijajah Thai ditukar ke sebutan bahasa Thai. Identiti serta sejarah Melayu di Segenting Kra terus dikikis hingga ke hari ini.

Namun pemerintah Patani ketika itu tetap tidak berputus asa, pemberontakan terus dilakukan terhadap penjajah Thai.

Sultan Patani terakhir iaitu Sultan Abdul Kadir yang mempunyai hubungan rapat dengan empayar Turki Uthmaniyyah menerima bantuan ketenteraan dalam jumlah yang kecil dari pihak khalifah Islam itu untuk melancarkan gerakan pembebasan pada tahun 1923.

Penentangan terhadap penjajahan Bangkok diteruskan oleh putera Sultan Abdul Kadir iaitu Tengku Mahmood Mahyiddeen yang juga merupakan komando Melayu antara yang pertama di Nusantara, berpangkat mejar dalam pasukan elit anti-Jepun tentera British ketika Perang Dunia Kedua bernama Force 136 Harimau Malaya.

Mejar Tengku Mahmood menyertai gerakan Gabungan Melayu Patani Raya (Gempar), cuba merevolusikan pendidikan orang-orang Melayu di Patani dan mendesak British di Malaya untuk memerdekakan Patani dari cengkaman Bangkok.

Namun usahanya kurang berhasil apabila beliau meninggal dunia dalam usia yang agak muda (46 tahun) di Kelantan.

Semangat ketenteraan keturunan Melayu Jawi tidak pernah sunyi dari ujian. Setiap penjajah yang hadir pasti menghadapi tentangan sengit!

Sebagai contoh,Tok Janggut dan para penduduk Pasir Puteh, Kelantan memberontak hingga berjaya menumpaskan satu balai polis penjajah British pada 1915.

Kelantan juga menjadi negeri pertama dalam Malaya yang didatangi penjajah Jepun.

Kaum hawa masuk Home Guard

Menjelang zaman Komunis Bintang Tiga pula, pasukan Home Guard di Gua Musang, Kelantan yang bersenjatakan senapang turut dianggotai kaum Hawa bagi mempertahankan diri ketika era Darurat 1948-1960.

Ada banyak lagi kisah-kisah sejarah zaman pra merdeka serta watak-watak hero mahupun heroin pejuang bangsa dan negara yang tidak didendangkan dalam buku teks rasmi sejarah Malaysia di peringkat sekolah menengah.

Ada juga fakta sejarah yang disembunyikan atas kepentingan tertentu termasuk untuk menjaga hubungan diplomatik antara negara-negara jiran.

Tidak kurang juga ada catatan sejarah yang sengaja dibiarkan hanyut ditelan zaman oleh pihak pemerintah kerana ego serta mahu menjaga kepentingan nasional negara masing-masing.

Dan yang paling menyedihkan, ada di antara kita pula lebih gemar mencari kisah sejarah yang bersifat kenegerian semata-mata, cuba mencungkil perbezaan antara rumpun Melayu.

Malah ada yang sengaja mahu padam sejarah hubungan baik yang pernah terjalin antara nenek moyang kita di Nusantara (alam Melayu) ini.

Perjuangan kita masih belum selesai!

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda