Hari ke-2: Pegawai khas Najib, personaliti 1MDB dilantik ke anak syarikat – Saksi


shadow

LANGSUNG l Perbicaraan jenayah bekas perdana menteri Najib Razak melibatkaan dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dana 1MDB akan bermula hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Najib menghadapi empat pertuduhan rasuah menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Perbicaraan yang dinanti-nantikan ini berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah.

Malaysiakini membawakan laporan langsung prosiding mahkamah.

Hakim tolak permohonan pembelaan pendek pendengaran harian ke jam 4.30 petang

4.05pm – Prosiding mahkamah bersambung selepas berehat sebentar dan mendengar permohonan pembelaan untukmemendekkan pendengaran harian kerana tertuduh Najib tidak boleh duduk di bangku kayu untuk sepanjang hari.

Permohonan itu dibuat selepas hakim menolak permintaan DPP Mustaffa P Kunyalam untuk memendekkan prosiding hari ini pada jam 4.30 petang.

Ketika itu peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah bingkas bangun dari kerusinya untuk membuat permohonan yang sama.

Shafee yang pada awalnya memetik isu-isu dokumentasi sebagai sebab untuk hakim mempertimbangkan memendekkan pendengaran hari ini, kemudian turut menyebut masalah kesihatan anak guamnya.

“Tetapi yang lebih penting anak guam saya (perlu) duduk di atas bangku papan (tanpa alas kusyen)…

“Hampir setiap hari. Setiap kali Yang Arif membenarkan penangguhan (sebentar tadi), beliau terpaksa melakukan regangan badannya, kalau tidak jadi lebih teruk lagi,” katanya memberitahu hakim Collin Lawrence Sequerah.

Shafee juga berkata beliau telah membangkitkan isu serupa di mahkamah hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, di mana Najib menghadapi satu lagi perbicaraan jenayah berkaitan tuduhan penyelewengan dana SRC International.

Sequerah berkata beliau hanya boleh membenarkan mahkamah ditangguhkan pada 4.45 petang hari ini.

Shafee kemudian membuat permohonan lain, meminta hakim sekiranya beliau boleh mempertimbangkan untuk menetapkan waktu akhir sidang mahkamah pada masa hadapan untuk pendengaran harian pada jam 4.30 petang.

Bagaimanapun, hakim tidak berganjak dengan keputusannya tetapi memberitahu peguam itu bahawa mahkamah dapat mempertimbangkan untuk membenarkan rehat secara berkala jika diperlukan.

“Saya boleh memberikan rehat secara berkala jika diperlukan,” kata Sequerah.


Pegawai khas Najib, personaliti 1MDB dilantik ke anak syarikat – Saksi

3.38pm – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendengar hari ini bahawa bekas pegawai khas perdana menteri Najib Razak, Wan Ahmad Shihab Ismail Wan Ismail telah dilantik menjadi pengarah di Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd, pengeluar tenaga yang dibeli 1MDB daripada hartawan Ananda Krishnan pada awal bulan Mac 2012.

Mahkamah turut mendengar dua personaliti berkaitan 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Terence Geh Choh Heng, masing-masing dilantik sebagai pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif Tanjong Energy Holdings (Shahrol) serta timbalan ketua pegawai kewangan (Geh).

Pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Rafidah Yahya mengesahkan hal ini semasa pemeriksaan utama oleh DPP Mohamad Mustafa P Kunyalam berhubung dengan Borang 49 syarikat, yang memperincikan lembaga pengarahnya.

Mustafa: Dalam Tanjong Energy Holdings, Ahmad Ismail Wan Ismail, pegawai khas kepada perdana menteri (Najib) telah dijadikan pengarah pada 22 Mei 2012, serta Shahrol Azral Ibrahim Halmi pula dilantik pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif serta pelantikan Terence, Geh Choh Heng sebagai pengarah (pada 22 Mei 2012).

Rafidah: Betul.

Saksi: SPRM minta maklumat 4 syarikat

2.45 petang: Pegawai Suruhanjaya Syarikat (SSM) Rafidah Yahaya memberitahu mahkamah bahawa SPRM membuat permintaan untuk mendapatkan maklumat empat syarikat tahun lalu untuk siasatan mereka dalam skandal 1MDB.

Ketika pemeriksaan utama dengan DPP Mustaffa P Kunyalam, dia berkata permintaan itu dibuat pegawai SPRM Shahrul Nizam Abdul Aziz pada 22 April 2019.

Antara syarikat itu ialah Powertek Investment Holdings Sdn Bhd, Merpati Energy (Langat) Sdn Bhd, dan Mastika Lagenda Sdn Bhd.

Selepas menerima permintaan itu, katanya lagi, dia mencetak dokumen yang diperlukan SPRM dan menyerahkannya kepada Shahrul Nizam.

Rafidah kemudian mengesahkan dokumen itu kepada mahkamah atas tujuan menyerahkannya sebagai bukti pendakwaan.

Rafidah Yahya

2.42 petang: Perbicaraan bersambung.


1 tengah hari: Perbicaraan berhenti sekejap untuk rehat tengah hari, dan akan bersambung semula pada pukul 2.30 petang.


SSM kenal pasti dokumen pendaftaran TIA/1MDB

12.05 tengahari: Pihak pendakwaan memanggil saksi ketujuhnya, pegawai Suruhanjaya Syarikat (SSM) Rafidah Yahaya untuk memberi keterangan di mahkamah.

TPP Mustaffa P Kunyalam melakukan pemeriksaan utama ke atas saksi.

Rafidah memulakan keterangannya dengan mengenal pasti dokumen yang telah diserahkan kepada SPRM pada 28 Mei 2018, termasuk sijil pendaftaran Terengganu Investment Authority Berhad (TIA), yang kemudiannya dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).


Hakim tolak permohonan pendakwaan tangguh perbicaraan

11.30 pagi: Sebaik selepas saksi keenam pendakwaan Mohd Noor Ahmad dilepaskan daripada kandang saksi, ketua pendakwaan Gopal Sri Ram memohon mahkamah untuk menangguhkan perbicaraan hari ini.

Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa pendakwaan menjangkakan satu sesi yang panjang untuk pemeriksaan terhadap saksi ketujuh, memandangkan ada 177 dokumen yang perlu diberikan.

“Jika sesuai dengan Yang Arif, kami mahu menangguhkannya kepada Selasa pagi,” kata Sri Ram.

Hakim Collin Lawrence Sequerah bagaimanapun enggan menangguhkan perbicaraan.

Katanya perbicaraan telah kerugian “beberapa hari”, merujuk kepada penangguhan perbicaraan beberapa minggu lalu.

“Kita akan mulakan hari ini. Kita sudah hilang beberapa hari. Saya yakin ia akan membawa kepada Selasa ini,” katanya.

Sequerah kemudian membenarkan perbicaraan dihentikan sebentar bagi membolehkan pendakwaan menyediakan saksi seterusnya.

Collin Lawrence Sequerah


Saksi: Cek dari Najib untuk bantu Melayu miskin di Batu Kawan

11.20 pagi: Ketua Umno Bahagian Batu Kawan Mohd Noor Ahmad berkata, wang berjumlah RM100,000 yang diterima bahagian itu dari Najib pada 2013 digunakan untuk membantu penduduk di kawasan itu.

Ketika pemeriksaan balas dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah, saksi kelima itu setuju dengan kenyataan Shafee bahawa orang Melayu di Pulau Pinang adalah lebih susah berbanding orang Melayu di negeri lain.

Dia juga setuju bahawa orang Melayu di negeri itu memerlukan bantuan untuk memperbaiki taraf hidup mereka.

Shafee: Satu lagi soalan. Sungguh pun saya dari Pulau Pinang… Datuk setuju keadaan orang Melayu di Pulau Pinang tidak begitu maju?

Mohd Noor: Setuju.

Shafee: Di Malaysia ini, salah satu (negeri di mana orang Melayu) mundur ialah Pulau Pinang?

Mohd Noor: Setuju.

Shafee: Dan mereka perlukan bantuan untuk naikkan taraf (hidup) mereka?

Mohd Noor: Setuju.

Shafee: Pada masa itu kerajaan negeri bukan BN, dan Datuk dapat sumbangan (daripada Najib) untuk bantu orang di Batu Kawan?

Mohd Noor: Setuju.

Saksi juga berkata akaun bank Umno Batu Kawan telah dibekukan pihak berkuasa sejak setahun lalu ekoran kes ini.


‘Cek RM100,000 dari Najib sumbangan untuk Umno’

11.05 pagi: Ketua Umno Bahagian Batu Kawan Mohd Noor Ahmad berkata dia menerima cek bernilai RM100,000 sebagai sumbangan kepada bahagian itu daripada bekas presiden Umno Najib Razak.

Ketika pemeriksaan balas dengan DPP Najwa Bistamam, Mohd Noor berkata dia menerima cek itu pada 6 Ogos 2013 di Pejabat Perdana Menteri.

“Saya maklumkan kepada presiden (tentang perlu dana untuk uruskan parti)… Ketika jumpa presiden di pejabat perdana menteri,” katanya.

“Pada 6 Ogos 2013,” katanya lagi ketika ditanya bila perkara itu berlaku.

Cek bertarikh 7 Ogos 2013 itu termasuk dalam salah satu pertuduhan pengubahan wang haram terhadap Najib dalam kes 1MDB melibatkan dana RM2.28 bilion.

Mohd Noor Ahmad

11 pagi: Bekas setiausaha politk Najib, Wong Nai Chee selesai memberikan keterangannya dan keluar dari kandang saksi.

Pendakwaan kemudian memanggil saksi keenam, Mohd Noor Ahmad yang merupakan ketua Umno Bahagian Batu Kawan.


‘Najib tak keluarkan cek secara terus sebab takut disebar di FB’

10.15 pagi: Bekas perdana menteri Najib Razak tidak mengeluarkan cek secara terus kepada dua entiti untuk mengelakkannya disebarkan di Facebook, kata bekas setiausaha politiknya Wong Nai Chee.

Ketika pemeriksaan utama dengan DPP Gopal Sri Ram, Wong berkata cek tersebut sebaliknya dikeluarkan kepada ahli perniagaan Lim Soon Peng sebelum diberikan kepada Akademi Kewartawanan dan Informasi dan AD Network.

Akademi Kewartawanan dan Informasi terlibat dalam penerbitan akhbar mingguan bahasa Cina, manakala AD Network adalah pentadbir laman Facebook Ah Jib Gor.

“Jika PM (Najib) keluarkan cek peribadi, kita tak mahu ia disebarkan di Facebook.

“Kami lebih memilih untuk bayar kepada seseorang yang dipercayai, jadi dia (Lim) boleh bayar (kepada dua entiti itu),” katanya yang merupakan saksi kelima pendakwaan.

Antara cek yang dikeluarkan Najib ialah berjumlah RM246,000 bertarikh 7 Ogos 2013.


Perbicaraan bermula

10.05 pagi: Prosiding bermula dengan pendakwaan memanggil saksi kelimanya, Wong Nai Chee.

Wong ialah bekas setiausaha politik Najib.

Wong Nai Chee

9.30 pagi: Najib Razak masuk ke mahkamah dan duduk di bahagian depan galeri awam untuk menunggu perbicaraan dimulakan.

Turut dilihat ialah ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah dan ketua pendakwaan Gopal Sri Ram.

Terdahulu hari ini, Najib dan peguamnya hadir ke sebutan satu lagi kes di depan hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan.


Dengan perbicaraan kes 1MDB masuk hari kedua hari ini, satu garisan telah dilakar antara pasukan pendakwaan dengan pasukan pembelaan bekas perdana menteri.

Semalam, bekas hakim Mahkamah Persekutuan yang menjadi ketua timbalan pendakwa raya Gopal Sri Ram dalam pernyataan pembukaannya menyebut tentang perancangan untuk mengkayakan tertuduh melalui pakatan dengan ahli perniagaan Low Taek Jho, yang disifatkan sebagai “bayangan” dan “alter ego” Najib.

Ketua peguam Muhammad Shafee Abdullah pula mengisytiharkan pendakwaan masih perlu membuktikan Najib benar-benar tahu wang yang masuk ke akaunnya adalah daripada 1MDB, bukan derma daripada “raja Saudi” seperti yang dikatakannya sebelum ini.

Dengan kedua-dua pihak menyatakan kedudukan mereka, sekurang-kurangnya dua saksi akan dipanggil hari ini untuk memberi keterangan di depan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah.

Ia termasuklah bekas setiausaha politik Najib, Wong Nai Chee dan ketua Umno Batu Kawan Mohd Noor Ahmad.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda