Haram Dong Zong, biar polis tentukan – PM


shadow

SEPANG: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, terpulang kepada polis menentukan sama ada badan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) perlu diharamkan atau tidak.

Perdana Menteri berkata, jika tindakan mereka berterusan cuba menggalakkan orang ramai bergaduh antara satu sama lain, ia melanggar undang-undang,

“Kita ada kebebasan untuk bersuara, tetapi kita juga sentiasa sensitif untuk tidak mempengaruhi mereka yang berlainan bangsa untuk melawan antara satu sama lain.

“Dong Zong hanya mempertahankan satu komuniti dan lupa bahawa ini adalah negara pelbagai kaum,” katanya bagi mengulas mengenai petisyen dalam talian yang dilancarkan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bagi mengumpul sokongan menggesa pengharaman Dong Zong, di sini, hari ini.

Exco ARMADA, Muzzammil Ismail hari ini menyifatkan Dong Zong sebagai keterlaluan dan mempunyai niat menggugat perpaduan masyarakat.

Dr Mahathir juga mempertahankan kenyataannya semalam yang menganggap Dong Zong sebagai rasis kerana selalu membuat kenyataan tanpa memikirkan perasaan kaum lain di negara ini.

Beliau berkata, walaupun negara ini mengamalkan kebebasan bersuara, semua pihak seharusnya peka dalam membuat sebarang kenyataan yang boleh mengguris perasaan kaum lain.

“Anda lihat sendiri latar belakang Dong Zong, yang langsung tidak pernah berjuang untuk Malaysia, tetapi hanya untuk satu kaum saja. Ini negara majmuk berbilang kaum, anda harus memikirkan perasaan orang lain.

“Apabila berbuat sesuatu, kita harus memikirkan apa yang orang lain akan kata. Jika mereka tidak gembira, mungkin kita harus berbuat sesuatu,” katanya.

Perdana Menteri berkata, pada masa dulu tidak ada masalah untuk beliau ke sekolah semua kaum belajar di tempat sama.

“Ada Benggali, Cina, India dan Melayu, semuanya ok. Tetapi jika ikutkan Dong Zong, anak-anak Cina tidak seharusnya bergaul dengan kaum lain. Untuk berada di satu perhimpunan pagi menggabungkan ketiga-tiga sekolah, seolah-olah ‘anathema’ untuk mereka.

“Sebab itu saya kata Dong Zong ini sangat rasis, yang terlampau mengabdikan diri untuk mempertahankan hak kaumnya saja,” katanya.

Ditanya kenyataan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran yang mahukan penceramah bebas, Dr Zakir Naik diusir serta-merta kerana mengeluarkan kenyataan menghina penganut agama Hindu di negara ini, Dr Mahathir berkata, Malaysia tidak boleh mengusir Dr Zakir Naik kerana wujud ancaman bunuh terhadap penceramah kontroversi itu.

Namun, beliau berkata, sekiranya ada mana-mana negara yang mahu menerima penceramah berasal dari India itu, mereka dialu-alukan berbuat demikian.

“Masalah yang dihadapi ialah kami tidak boleh menghantarnya pulang (ke India) kerana beliau menghadapi risiko dibunuh.

“Tetapi jika ada negara yang mahu menerimanya, mereka dialu-alukan berbuat demikian,” katanya.

Tinggalkan komen anda