Geng Beliak kantoi


shadow

MEMECAH masuk rumah atau kedai melalui pintu hadapan dan belakang kemudian melarikan pelbagai barangan dicuri dengan menggunakan kereta serta menunggang motosikal.

Itu modus operandi ‘Geng Beliak’ sebelum kegiatan mereka sejak Januari lalu berjaya dikesan dan dibongkar polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung kegiatan pecah rumah dan kedai yang kerap berlaku di daerah itu.

Berikutan itu katanya, sepasukan polis mengadakan op cantas dan menahan empat lelaki berusia antara 24 hingga 32 tahun dalam dua serbuan Sabtu lalu.

“Dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Pengkalan Batu, Tasek Gelugor polis menahan tiga lelaki berusia 24,31 dan 32 tahun.

“Hasil soal siasat ke atas ketiga-tiganya membawa kepada penahanan seorang lagi ahli geng itu berusia 25 tahun berhampiran kawasan itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara hari ini.

Menurutnya, soal siasat lanjut mendapati kegiatan pecah rumah dan kedai itu dilakukan dua suspek manakala dua lagi adalah pembeli barangan curi.

“Dua suspek mengaku melakukan kegiatan itu dan menjual barangan berkenaan kepada dua lagi suspek di bawah harga pasaran yang mana duit diperoleh adalah untuk membeli dadah.

“Suspek memaklumkan barangan yang dicuri disimpan di sebuah stor dan kita sudah merampasnya semula untuk tindakan lanjut,” katanya.

Noorzainy berkata, antara barangan yang dirampas adalah telefon bimbit, televisyen, komputer riba dan rokok yang semuanya dianggarkan bernilai RM30,000.

Menurutnya, penahanan keempat-empat suspek itu berjaya menyelesaikan sembilan kes pecah rumah dan kedai di daerah itu.

Katanya, semua suspek direman tujuh hari sehingga Sabtu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

-myMetro

Tinggalkan komen anda