Festival Anak Muda 2019 ketengah kegiatan seni


shadow

Memberi peluang untuk anak-anak muda mengenengah dan mempromosi kegiatan seni merupakan antara objektif utama Festival Anak Muda 2019 yang berlangsung di Balai Seni Negara mulai hari ini.

Program tiga hari anjuran galeri berkenaan diadakan buat julung kali dan selaras fokus kerajaan untuk memperkasa iltizam anak muda melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Menurut Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Prof Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa program itu bukan sahaja berbentuk hiburan, tetapi turut memberi pendedahan dan mendidik.

“Ia diharap dapat menyemarakkan lagi penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2020 dan Kuala Lumpur Biennale 2020,” katanya ketika perasmian festival itu,  hari ini.

Perasmian tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara Rashidi Hasbullah.

Festival Anak Muda 2019 terbahagi kepada empat bahagian iaitu Rewang Idea, Ronggeng Anak Muda, Lontar Kata dan Pekan Sari.

Rewang Idea merupakan program bicara dan bengkel seni antaranya bengkel ‘Tugu Kita’, bengkel Alam dan Animasi, seni gubahan Kokedama dan pelbagai lagi.

Program Ronggeng Kita pula adalah merupakan persembahan muzik 32 band indie, underground dan tradisional diselang-seli dengan program Lontar Kata iaitu bacaan puisi daripada penyajak tempatan.

Pekan Sari pula ialah bazar seni yang memberi peluang kepada usahawan muda seni memasarkan produk mereka terus kepada pengguna.

Terdapat 40 tapak gerai jualan ditawarkan kepada usahawan dan seniman muda untuk festival ini.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan festival bermula 10 pagi hingga 10 malam dan masuk adalah percuma.

Sepanjang program tiga hari itu, pameran terkini di Balai Seni Negara turut dipanjangkan sehingga 10 malam.

 Bernama

Tinggalkan komen anda