Farhash: Sifat berpura-pura punca isu jawatan PM jadi polemik


shadow

Polemik politik dan peralihan kuasa membabitkan jawatan perdana menteri berpunca daripada sifat berpura-pura sesetengah kumpulan dalam PKR, kata Setiausaha Politik Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Farhash mendakwa polemik politik yang berlangsung ketika ini – dan menyebabkan sesetengah pihak dalam PH berasa kurang senang – sepatutnya tidak timbul.

Farhash yang juga pengerusi PKR Perak menambah, Anwar sebenarnya tidak pernah sangsi mengenai penyerahan jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir Mohamad kepada anggota parlimen Port Dickson itu.

Katanya hal itu termaktub dalam manifesto PH yang dipersiapkan menjelang PRU ke-14 tahun lalu.Iklan

“Namun ada segelintir pihak yang mempunyai muslihat tersendiri, – seperti yang disebut Abdul Yunus Jamhari – untuk melaga-lagakan pemimpin PH dengan Presiden,” katanya.

Semalam Abdul Yunus mengeluarkan kenyataan mendakwa surat yang dibuat bagi menunjukkan sokongan kepada Anwar tidak diperlukan malah ia hanya akan memberi persepsi negatif kepada rakyat.

Malah kata exco Perak itu, tindakan tersebut dilihat cubaan sesetengah pihak mengheret pemimpin dan anggota PKR terlibat dalam konflik yang berlaku berdasarkan muslihat peribadi.

Sebanyak 22 cabang PKR menyatakan sokongan mereka kepada Anwar, kecuali dua, iaitu Bukit Gantang dan Bagan Serai. Abdul Yunus ialah ketua PKR Bagan Serai, manakala Bukit Gantang diketuai Chua Yee Ling.

Kata Farhash tidak ada masalah jika ada anggota parti mahu melafazkan sokongan kepada presiden PKR demi mengukuhkan perpaduan parti.

Pada masa sama katanya demokrasi membenarkan mana-mana pihak untuk tidak sependapat dan tindakan sebegitulah yang boleh membawa persepsi negatif jika ia dipersoalkan oleh media atau anggota parti.

“Selaku pengerusi PKR Perak, saya terima keenganan Abdul Yunus dan Chua walaupun saya tidak beberapa gemar, namun inilah demokrasi.

“Usaha yang dilakukan melalui surat sokongan kepada presiden adalah tepat dan jelas.

“Persoalannya sekiranya ada sebarang ketidakpastian dalam situasi politik parti mahupun negara, bolehkah kita harapkan parti berdiri teguh sebagai satu entiti di bawah presiden?” katanya.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda