Exco Perak: Saya boleh agak siapa di belakang tuduhan rogol


shadow

Exco Perak Paul Yong berkata dia boleh mengagak individu yang menurutnya bertanggungjawab di sebalik tuduhan merogol pembantu rumah Indonesia yang dihadapinya.

“Saya sebenarnya boleh (agak) suspek dan saya lebih kurang tahu siapa di belakang (tuduhan) ini.

“Saya tak ada bukti yang kukuh dan tak boleh bongkarkan di sini,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Sesyen Ipoh pagi ini.

Bendahari DAP Perak itu juga menyatakan rasa tidak puas hati terhadap polis yang menyiasat kes berkenaan.

“Saya percaya kepada profesionalisme polis untuk jalankan tugas, tapi satu yang saya tak puas hati, untuk polis yang terlibat dalam siasatan kes ini mereka tidak menjalankan tugas dengan profesional.

“Kalau polis jalankan siasatan dengan profesional, maka hari ini saya tidak dituduh ke mahkamah seperti peguam saya katakan tadi,” katanya.

Terdahulu ahli dewan undangan negeri Tronoh itu mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Mahkamah membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.

Semalam, Speaker Perak Ngeh Koo Ham membuat laporan polis mendakwa bahawa individu yang membawa pembantu rumah Indonesia berkenaan untuk membuat laporan polis terhadap Yong menerima RM100,000 dan diugut oleh individu yang mempunyai senjata api agar tidak mendedahkan perkara berkenaan.

Sementara itu, Yong turut memetik laporan polis Ngeh.

“(Dakwaan) RM100,000 ditawar oleh seseorang itu (untuk) bawa pembantu rumah Indonesia ke sesuatu tempat, tidak masuk dalam siasatan polis, dan tiga kali kes ini ditendang balik oleh Jabatan Peguam Negara.

“Polis tidak panggil saya ambil kenyataan, berikan input berikan maklumat, ini adalah satu kesilapan yang besar sedangkan saya jalankan tugas sebagai seorang wakil rakyat dan exco, adakah siasatan belum dibuat dengan sempurna dan dengar kepada satu pihak di mana polis sudah anggap pembantu rumah Indonesia itu sebagai mangsa, dan saya sebagai penjenayah. Ini tidak adil.

“Siasatan kena buat secara menyeluruh bila Jabatan Peguam Negara sudah tendang balik tiga kali, polis perlu panggil saya pergi buat kenyataan supaya lebih banyak maklumat dimasukkan,” katanya.

Ditanya sama ada dia mengenali individu yang dicurigainya sebagai pihak di belakang tuduhan itu, Yong berkata: “Tiada komen, tiada komen”.

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming, yang juga hadir, berkata polis perlu menjalankan siasatan yang adil dengan mengambil kira perkembangan terbaru kes itu.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda