Elaun latihan praktikal RM5 sejam


shadow

KERAJAAN bersetuju menaikkan kadar elaun penuntut institusi pengajian tinggi yang menjalani latihan praktikal di industri sebanyak tiga kali ganda bagi tempoh sejam.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Belia dan Sukan (KBS), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melalui video yang dimuat naik di Twitter rasminya selepas mesyuarat khas Kabinet yang membincangkan isu-isu anak muda, hari ini.

Syed Saddiq berkata, pembayaran itu berkuat kuasa bermula 1 September kepada mana-mana penuntut yang melakukan latihan praktikal di sektor awam termasuk kementerian, agensi serta jabatan.

“Saya ingin menyampaikan berita baik kepada semua anak muda yang akan melalui latihan amali. Alhamdulillah kerajaan bersetuju menaikkan kadar elaun bagi intern (pelatih) daripada RM1.60 kepada RM5 sejam.

“Peningkatan lebih tiga kali ganda berbanding sebelum ini iaitu RM300 kepada anggaran RM900 sebulan dengan kadar pembayaran itu.

“Ini penambahbaikkan yang sangat baik daripada sebelum ini dimana ada daripadanya tiada pembayaran langsung. InsyaAllah kita akan lakukan yang terbaik dan berkerja lebih keras untuk anak muda di Malaysia,” katanya.

Setakat 9.15 malam tadi, video berdurasi satu minit itu mendapat lebih 40,900 tontonan serta 6,583 retweet pengguna sosial media.

Rata-rata warganet menyambut baik pengumuman itu.

Terdahulu, Kementerian Belia dan Sukan mengemukakan cadangan supaya penuntut institusi pengajian tinggi yang menjalani latihan praktikal di industri mendapat bayaran elaun.

Cadangan itu menurut Syed Saddiq adalah penting berikutan terdapat ramai pelajar tidak mendapat bayaran dari tempat latihan praktikal mereka.

  • myMetro

Tinggalkan komen anda