Dua sekolah ditutup dua hari


shadow

DUA sekolah berhampiran hutan terbakar di Jalan Tanjung Kupang, Kampung Pekajang di Gelang Patah ditutup selama dua hari bermula hari ini dan esok.

Sekolah yang terbabit itu adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Adang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Adang.

Kedudukan kedua-dua sekolah itu begitu hampir dengan lokasi kejadian kebakaran hutan yang berlaku sejak Rabu lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan (Pengurusan Sekolah) Johor Ab Rahim Lamin berkata, penutupan sekolah berkenaan adalah bagi memastikan tahap kesihatan pelajar tidak terjejas kerana terdedah dengan udara kotor.

Menurutnya, pengisytiharan cuti berkenaan akan diklasifikasikan sebagai isu bencana.

“Pihak kami sudah membuat tinjauan di kedua-dua sekolah berkenaan, puncanya sekarang adalah kuantiti asap yang kami rasa boleh mendatangkan kesan tidak sihat.

“Jadi, selepas menerima nasihat daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pegawai Daerah Johor Bahru dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, kita ara tutup sekolah ini selama dua hari,” katanya.

Ab Rahim berkata, pihaknya juga akan mempertimbangkan lanjutan cuti kepada dua sekolah berkenaan sekiranya keadaan kebakaran di kawasan itu belum dapat diatasi sepenuhnya.

“Esok kita akan dapatkan lagi nasihat daripada pihak berkaitan dan jika belum boleh diteruskan kita akan lanjutkan cuti,” katanya.

Terdahulu, Pemangku Raja Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu SMK Tanjung Adang ditutup sementara demi memastikan tahap kesihatan pelajarnya tidak terjejas.

Titah berkenaan dinyatakan baginda selepas melakukan lawatan ke sekolah itu hari ini berhubung insiden kebakaran hutan berkenaan.

-myMetro

Tinggalkan komen anda