Dr M: Status PR Zakir Naik akan ditarik jika jejas negara



Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan menarik balik status penduduk tetap (PR) Dr Zakir Naik sekiranya siasatan polis mendapati pendakwah kontroversi itu melakukan sesuatu yang menjejaskan kesejahteraan negara.

“Kita (kerajaan) boleh tarik balik status penduduk tetapnya jika dia (Zakir) melakukan sesuatu yang menjejaskan kesejahteraan negara ini,” katanya pada sidang media dalam kunjungannya di ibu pejabat AirAsia hari ini.

“Pada masa ini, polis sedang menyiasat (sama ada) dia melakukannya atau tidak.

“Sudah tentu, jika dia melakukannya, kita perlu menarik balik status penduduk tetapnya,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, kerajaan juga akan mengambil tindakan untuk menghalang Zakir dari terus membuat ucapan yang provokatif yang dilihat cuba melaga-lagakan kaum dalam masyarakat.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata polis akan memanggil Zakir untuk memberi keterangan.

Dr Mahathir juga menolak cadangan yang meminta beliau menuntut permohonan maaf daripada Zakir untuk rakyat Malaysia.

“Saya tak fikir ia akan mengurangkan kemarahan orang ramai.

“Jadi buat masa ini kita serahkan kepada polis untuk menyiasat keseriusan kenyataan yang dibuatnya,” katanya.

Zakir, yang mendapat status penduduk tetap ketika di bawah kerajaan BN pada 2012, menimbulkan kemarahan masyarakat apabila menyifatkan rakyat Malaysia dari kaum Cina sebagai “tetamu lama” di Malaysia, selain mempertikai kesetiaan masyarakat India di Malaysia terhadap perdana menteri.

Zakir berkata demikian sebagai respons balas atas gesaan pengkritiknya supaya beliau keluar dari negara ini.

Zakir bagaimanapun mendakwa kenyataannya dipetik di luar konteks.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda