Didakwa hina Indonesia, Gojek: Pengasas Big Blue Taxi minta maaf


shadow

Pengasas Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd Shamsubahrin Ismail hari ini memohon maaf atas kenyataannya yang dikatakan menghina Indonesia dan perkhidmatan teksi motosikal di negara itu, Gojek.

“Saya ingin memohon maaf kepada semua rakyat indonesia kerana labelkan anda orang miskin.

“Kenyataan saya bukan atas tuduhan liar atau menghina rakyat Indonesia, mereka (Indonesia) di hati saya, tak terlintas buat penghinaan,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Justeru dia berharap para pemandu Gojek di negara itu membatalkan hasrat untuk mengadakan demonstrasi di depan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Menurut beberapa laporan media negara itu semalam, Ketua Nasional Gabungan Aksi Roda Dua (Garda) Indonesia, Igun Wicaksono berkata mereka akan memberikan surat bantahan kepada Duta Besar Malaysia Zainal Abidin Bakar.

Igun berkata mereka akan mengadakan demonstrasi pada 3 September ini jika tiada permohonan maaf terbuka dibuat pihak terlibat.

Ia selepas video yang memaparkan kenyataan Shamsubahrin berkenaan bantahannya terhadap rancangan membawa Gojek ke Malaysia.

“Ini negara miskin, kita negara kaya. Kalau Indonesia anak muda bagus, dia tak keluar, keluar negara untuk cari kerja. Gojek hanya untuk orang miskin seperti di Jakarta,” menurut petikan video itu.

Sementara itu, Shamsubahrin berkata, pihaknya tidak menghalang perkhidmatan Dego Ride untuk dihidupkan semula atas sentimen menyokong produk tempatan, berbanding meluluskan kemasukan Gojek ke Malaysia.

Beliau menyuarakan pendirian itu kerana mendakwa khidmat pengangkutan awam dari negara asing bakal mengundang kesan buruk kepada pendapatan negara.

“Sekurang-kurangnya produk tempatan seperti Dego Ride, kita akan ada kawalan terhadap syarikat terbabit, berbanding produk asing yang boleh ‘angkat kaki’ dan pulang ke negara mereka jika berdepan masalah.

“Pendapatan yang dikaut menerusi sistem pengangkutan awam dari syarikat asing juga akan mengalir keluar, justeru kita hanya mengalami kerugian,” katanya.

Terdahulu, Dego Ride menggesa kerajaan mengutamakan pemain tempatan setelah memberi lampu hijau untuk memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal di Malaysia.

Dego Ride juga mula diperkenalkan sejak 2016 dengan kadar tambang serendah RM2.50, namun ia hanya terhad kepada perjalanan sejauh tiga kilometer (KM) di sekitar Lembah Klang.

Bagaimanapun, pada Januari 2017, timbalan menteri pengangkutan ketika itu, Abdul Aziz Kaprawi, memaklumkan pihaknya tidak pernah mengeluarkan lesen kepada perkhidmatan teksi yang menggunakan motosikal kerana ia melanggar undang-undang jalan raya di negara ini.

Selain itu, katanya lagi sekiranya Gojek tetap mahu diteruskan ia haruslah mengambil kira faktor keselamatan perkhidmatan tersebut.

“Saya mengadu dari dulu berkenaan e-kelui kerana ingin pastikan keselamatan buat perkhidmatan ini.

“Selepas kerajaan sudah meletakkan syarat untuk mengenakan insurans kepada pembawa teksi e-kelui Grab , saya terus tiada masalah,” katanya.

Pada 21 Ogos lalu, kabinet secara prinsip bersetuju terhadap cadangan perkhidmatan itu yang dikemukakan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu. 

Ia selepas pertemuan Syed Saddiq bersama Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke bersama pengasas Gojek.

Kementerian Pengangkutan turut diberi masa sebulan untuk menghantar laporan berkenaan pelaksanaan dan mekanisme perkhidmatan itu.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda