Diana ajak semua bangkit banteras pedagang haiwan terancam


shadow

Diana Danielle menyeru orang ramai membuat aduan kepada pihak berkuasa agar tindakan sewajarnya dapat diambil terhadap individu yang memperdagangkan haiwan liar, terancam atau dilindungi.

Kata pelakon itu, antara proses yang boleh membantu mengekang penjualan haram binatang sensitif itu melalui media sosial ialah dengan mengajukan aduan kepada pihak yang berkenaan.

Menurutnya, apabila orang ramai berani tampil mendedahkan sebarang maklumat berhubung penjual, mereka mungkin boleh dikesan dengan secepat mungkin.

“Jika kamu tahu nombor WhatsApp atau nama ejen menjual haiwan liar, boleh kongsikan dengan pihak berkuasa dan dedahkan maklumat mereka dalam talian.Iklan

“Sentiasa dedahkan supaya perniagaan mereka terjejas. Kita perlu lebih ramai orang untuk buat laporan polis supaya tindakan pantas boleh diambil.

“Kita perlu sekurang-kurang 50 laporan polis sebelum tindakan selanjutnya dibawa kepada pihak tertentu,” katanya melalui hantaran Instagram.

Terdahulu, Diana mendedahkan sebuah akaun Facebook sedang giat aktif menjual beberapa spesies haiwan liar – seperti harimau bintang dan harimau kumbang – tanpa berselindung kepada orang ramai.

“********** kerja dia merompak haiwan liar dari habitatnya,” katanya.

Namun, tindakan pantas orang ramai membuat aduan berjaya membuatkan pemiliknya menyahaktifkan akaun berkenaan.

Bagaimanapun, menurut Diana, dalang di sebalik akaun itu dipercayai masih aktif menjalankan perniagannya melalui beberapa aplikasi lain seperti WhatsApp.

Diana berkata, dia tidak akan berhenti berkongsi pandangan demi kesedaran orang ramai dan berjuang khususnya demi mempertahankan hak spesies haiwan terancam.

“Saya akan terus berkongsi hingga kesedaran mencapai tahap paling tinggi.

“Untuk menyelamatkan haiwan seperti ni kita tak boleh terus menunggu, seluruh keluarga haiwan tu dibunuh untuk menangkap anaknya dan dijual kepada orang yang fikir ia comel.

“Mereka tak tahu bahawa seluruh keluarga bayi haiwan itu dikorbankan untuk pembeli tak berhati perut. Justeru, bantu haiwan ni yang tak berdaya,” katanya.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda