Dana kerajaan perlu, tapi usah kongkong seniman


shadow

Kerajaan diseru untuk terus memberi sokongan sewajarnya kepada penggiat seni bagi mengalakkan percambahan karya tanpa menganggu gugat kandungan kreativiti yang dihasilkan.

Kartunis Zunar berkata tanpa dana kerajaan, seni sememangnya masih mampu bergerak secara mandiri namun ia tetap memerlukan sokongan dalam beberapa aspek yang lain.

Menurutnya, pada masa sama kerajaan yang bertindak selaku pembiaya dinasihatkan tidak meletakkan garis panduan tertentu agar diikuti penggiat seni kerana ia hanya menyekat kebebasan mereka untuk berkarya.

“Bantuan ertinya kita mahu kerajaan kalau beri dana, mereka juga harus mengalakkan percambahan.

“Tak boleh beri dana tapi kandungan dihasilkan kena ikut garis panduan tertentu yang diwajibkan oleh pembiaya dana.

“Bantuan begini amatlah dialu-alukan sebagai menyokong pergerakan,” katanya.

Zunar ditemui pada forum Adakah Seni Akan Pupus Tanpa Dana Kerajaandi Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor, Kuala Lumpur malam tadi.

Kena bersikap kritis

Turut hadir, panelis lain iaitu Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim; pemuzik, Takahara Suiko; pengarah dan penulis skrip, Al Jafree Md Yusop; aktivis seni, Nur Hanim Mohd Khairuddin, dan penulis serta penerbit, Hafiz Hamzah.

Sasterawan Negara, A Samad Said juga hadir selaku penyampai ucaptama.

Kata Zunar, 57, dia sebelum ini pernah menyaksikan beberapa kartunis lain terpaksa ‘berlembut’ dalam mempamerkan ilham mereka apabila mendapatkan bantuan yang dikehendaki.

Lebih teruk katanya, situasi itu tidak kurang ubahnya berbanding ketika semasa pemerintahan kerajaan BN hingga PH.

“Banyak berlaku apabila kartunis terima dana, mereka disuruh menyokong kerajaan, ni mentaliti pemberi subsidi bukan sokongan.

“Ada kalanya, untuk menggunakan fasiliti kerajaan, akan ada garis panduan, lepas tu penapisan, perkara ni ada sampailah kerajaan sekarang.

“Bila seniman nak guna tempat kerajaan, mereka terpaksalah berlembut, guna seni ikut jalan selamat,” katanya.

Bagi Zunar, memberi kebebasan bersuara dan ruang dalam menyentuh isu-isu realiti negara misalnya diyakini amat membantu menghidupkan sesebuah karya.

“Kartun yang baik tak ada siapa nak tengok, kartunis pula harus bersikap kritis.

“Justeru, menjadi tanggungjawab kerajaan sekarang untuk membantu memberi sokongan pada karya-karya seni bagi membezakan antara pemerintah sekarang dan dulu,” katanya.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda