Blaus bersaiz besar potongan A


shadow

MEMILIKI tubuh gempal tidak bermakna seseorang itu turut ketinggalan dalam berfesyen kerana melaluinya penampilan diri dapat diserlahkan sekali gus menjadikan wanita itu tampak lebih cantik serta berkeyakinan.

Namun kesukaran memiliki baju bersaiz besar dan kebanyakannya pula menampilkan rekaan lama membuatkan sesetengah wanita bersaiz ‘comel’ ini menjadi kurang berkeyakinan.

Kesannya, mereka mungkin tidak selesa dan kurang yakin apabila terpaksa menahan keinginan untuk kelihatan cantik di hadapan orang lain yang akhirnya membuatkan golongan itu terpaksa akur menyarung busana yang sama dalam tempoh lama. Walaupun sudah semakin menghampiri era 2020, namun masalah yang sama tetap dialami golongan terbabit hingga kini terutama berkaitan soal rekaan dan harga.

Menyedari kesukaran yang dialami wanita bertubuh comel dalam mendapatkan pakaian mengikut trend terkini membuatkan pasangan suami isteri Wismawati Mohammad Alih dan Fairul Zainal yang mengusahakan jenama Ruelbiz sejak 2015 tampil dengan variasi busana kasual dan Muslimah yang bukan saja cantik, malah menepati kriteria diingini.

Menurut Wismawati, pihaknya menawarkan pelbagai rekaan blaus bersaiz besar khususnya untuk ke pejabat atau gaya kasual.

“Kebanyakan koleksi dihasilkan dengan potongan A bagi memberi keselesaan kepada pemakai selain mengelakkan rekaan yang melekat pada tubuh kerana ia lebih menampakkan bentuk badan.

WISMAWATI bersama dua model bergaya anggun. FOTO: Nur Adibah Ahmad Izam

“Lebih menarik, kami memberikan pilihan lebih 40 warna dalam kebanyakan rekaan bagi memastikan si pemakai teruja dan gembira untuk bergaya,” katanya yang menyatakan pembelian boleh dibuat secara atas talian.

Tambahnya, dari segi harga, semua rekaan dijual pada harga bermula RM69 hingga RM79.

“Saiz pula didatangkan bermula saiz 44 hingga 60 dan hingga kini kami mempunyai lebih 20 rekaan berbeza.

“Paling utama semua koleksi ini direka untuk si pemakai tampil selesa dan dalam masa sama cantik serta manis dipandang walaupun bertubuh ‘comel’,” ujarnya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda