Belanda larang wanita Muslim pakai niqab


shadow

GLOBAL | Belanda pada Khamis mengeluarkan larangan pemakaian kain penutup muka termasuk niqab kepada wanita Muslim, lapor agensi berita Anadolu memetik Kementerian Dalam Negeri.

Larangan itu termasuk menutup muka dengan kain, topeng dan topi keledar, dikuatkuasakan di kawasan tertentu seperti institusi pendidikan, pusat penjagaan kesihatan, pengangkutan awam dan di bangunan kerajaan.

Menurut kenyataan itu lagi, pegawai di kawasan terbabit berhak meminta individu yang memakai penutup muka untuk menanggalkannya atau dilarang memasuki kawasan berkenaan.

Menurut media Belanda, mereka yang didapati melanggar larangan itu boleh didenda sekurang-kurangnya €150 (AS$165).Iklan

Akhbar harian Algemeen Dagblad melaporkan pada Rabu di bawah Artikel 53 Kanun Jenayah Belanda, orang ramai yang merasakan terganggu dengan wanita yang memakai niqab mempunyai hak untuk bersuara secara lisan atau fizikal.

Umat ​​Islam tempatan menyuarakan kebimbangan mereka terhadap larangan itu dan menuduh akhbar itu menjadikan wanita Muslim sebagai sasaran.

Amnesty International dan Dewan Negara Belanda membantah larangan itu, dengan mengatakan ia menyekat kebebasan beragama.

Parti Nida Belanda, yang diasaskan komuniti Islam, berkata pihaknya akan membayar denda bagi pihak wanita yang memilih untuk memakai niqab.

Dianggarkan kira-kira 150 wanita Muslim di Belanda memakai niqab.

Bernama

Tinggalkan komen anda