Belajar urus jenazah


shadow

Pengurusan jenazah sebagai fardu kifayah yang sekiranya di sesebuah kampung itu tiada seorang pun penduduk mengambil tanggungjawab menguruskannya, semua penduduk di kawasan berkenaan menanggung dosa.

Sehubungan itu, Pertubuhan Kebajikan ACT Malaysia (ACT Malaysia) berasa terpanggil untuk memberi pencerahan dan ilmu mengenai cara pengurusan jenazah kepada ahlinya.

Kira-kira 80 ahli badan bukan kerajaan (NGO) itu menyertai Kursus Pengurusan Jenazah ACT Malaysia yang dianjurkan di Masjid An Najihin Sri Permaisuri 3 di ibu negara, Ahad lalu.

Kursus sehari itu dikendalikan Pengurus Jenazah Hospital Kajang, Ustaz Nur Azlan Azmi dan turut disertai Pegawai Khas Timbalan Menteri Wilayah, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh, Mahathir Mohd Rais serta Presiden ACT Malaysia, Mohd Fazil Mohd Dali.

Peserta, Muhammad Fariz Rahim, 20, dari Sepang berkata, dia baru pertama kali menyertai kursus pengurusan jenazah seperti itu yang disifatkannya amat bermanfaat.

“Ini kali pertama saya melihat cara memandi dan mengkafankan jenazah di depan mata. Sebelum ini jika menziarahi kematian saudara dan kenalan, saya tidak pernah berpeluang melihat cara pengurusan jenazah, jauh sekali belajar mengenainya.

“Paling-paling pun hanya buat solat jenazah sahaja tapi selebihnya saya tidak tahu langsung,” katanya.

Menurutnya, apabila menyertai kursus itu, dia diberi kesedaran mengenai kepentingan ilmu berkenaan untuk kita praktikkan sekiranya diperlukan.

“Saya kurang memberi perhatian terhadap kepentingan mempelajari ilmu berkaitan pengurusan jenazah kerana merasakan ia kurang penting dan sudah ada yang akan menjalankannya.

“Apabila menyertai kursus ini, baru saya sedar mengenai kepentingan ilmu berkenaan untuk kita praktikkan.

“Jika tidak menguruskan jenazah orang lain, sekurang-kurangnya saya mampu menguruskan jenazah ahli keluarga sendiri,” ujar remaja itu.

Katanya, dia memperoleh banyak ilmu sepanjang menyertai kursus itu dan berhasrat untuk memanfaatkannya sebaik mungkin apabila diperlukan nanti.

Selepas ini katanya, dia berniat menyertai sukarelawan bagi menguruskan jenazah di Hopital Kajang untuk menambah lagi ilmu memandi dan mengkafankan jenazah.

Bagi Shahrul Nizam Ishak, 25, dari Hulu Langat, Selangor, dia sanggup menempuh perjalanan sejauh 45 kilometer dari rumahnya untuk menyertai kursus itu.

“Pelbagai jenis kursus keagamaan pernah disertai sebelum ini tetapi tidak pernah lagi membabitkan pengurusan jenazah seperti ini.“

Kami diajar mengenai cara dan amali pengurusan jenazah juga diberi pencerahan mengenai perbezaan di antara sunah dan adat Melayu ketika menguruskan jenazah.

“Banyak perbuatan dan amalan yang sebenarnya hanya adat disangka wajib contohnya pemakaian celak, serban dan baju pada jenazah,” katanya.

Menurutnya lagi, dengan menyertai kursus itu juga secara tidak langsung memberi kesedaran kepadanya dan peserta lain.

“Pengalaman menyaksikan sendiri cara memandi dan mengkafankan jenazah memberi keinsafan kepada saya dan semua peserta yang hadir.

“Semua orang akan melalui fasa kematian dan bagi semua orang Islam, jenazah masing-masing akan diuruskan, seterusnya memberi peringatan kepada kami,” katanya.

Katanya, dia berharap kursus yang disertai itu terus dianjurkan supaya lebih ramai golongan muda yang mempunyai ilmu berkaitan pengurusan jenazah.

“Kami harap ilmu yang diperoleh menerusi kursus ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk masyarakat setempat,” katanya.

Sementara itu, Mohd Fazil berkata, kursus pengurusan jenazah itu dianjurkan bertujuan untuk memberi kesedaran mengenai kepentingan ilmu dan kemahiran pengurusan jenazah.

“Saya sebagai sukarelawan pengurusan jenazah di Hospital Kajang berasa sedih apabila mendapati terlalu sedikit golongan muda yang terbabit secara langsung dalam pengurusan jenazah.“

Paling menyedihkan apabila hasil soal selidik, 90 peratus golongan belia dan remaja di sekitar Kuala Lumpur tidak tahu langsung mengenai cara pengurusan jenazah.

“Oleh itu, melalui bantuan Nur Azlan, saya mendapat idea menganjurkan program ini untuk ahli ACT Malaysia terlebih dahulu,” katanya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda