Belajar Jawi tak patut cara paksaan – NGO


shadow

Tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia mewajibkan belajar tulisan Jawi melalui subjek Bahasa Malaysia tahun empat di sekolah Cina dilihat tidak wajar kerana berbentuk paksaan.

Hal ini dijelaskan Pengerusi Persatuan Peranakan Cina Kelantan (PPCK), Lim Kham Hong yang berpendapat, masyarakat Cina di negeri itu yang terdedah dengan tulisan tradisi Melayu sebelum ini juga mempelajarinya secara sukarela.

Katanya, faktor pergaulan dan berkawan dengan dengan masyarakat Melayu menjadikan orang Cina di negeri itu berminat untuk menggunakan tulisan Jawi.

“Saya berpendapat pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi ini sepatutnya dibuat secara sukarela melalui aktiviti kokurikulum.

“Jika dibuat melalui subjek bahasa Malaysia ia seperti satu paksaan. Ini bahkan menjadi satu kejutan,” katanya kepada Malaysiakini, di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas berhubung isu pelaksanaan tulisan Jawi dan seni khat yang akan diperkenalkan oleh KPM melalui subjek bahasa Malaysia tahun empat.

Bagaimanapun, KPM beberapa kali memberi jaminan bahawa pengenalan seni khat, di kedua-dua sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan, hanya melibatkan bahagian kecil dalam mata pelajaran bahasa Malaysia dan tidak dimasukkan dalam penilaian.

Sementara itu Kham Hong berkata, pengenalan tulisan Jawi di sekolah digalakkan dan pelbagai aktiviti boleh dijalankan melalui kegiatan kokurikolum.

“Misalnya seperti aktiviti persatuan atau kelab di sekolah.

“Melalui cara itu kita boleh memupuk minat secara sukarela dan dipupuk sebagai hobi,” katanya.

Tambahnya, pelestarian tulisan Jawi dalam kalangan bukan Islam di negara ini termasuk di Kelantan semakin mencabar kerana ledakan teknologi yang semakin pesat berkembang.

“Situasi hari ini dan dulu berbeza, dulu nak tengok televisyen pun susah. Sekarang macam-macam ada, dengan telefon pintar, internet, siaran televisyen.

“Ia semakin menjauhkan generasi muda dengan perkara-perkara tradisi.

“Di Kelantan pun, sekarang sudah semakin kurang golongan muda berkebolehan dalam tulisan Jawi. Kalau dibuat secara paksa akan wujud kejutan dan bantahan,” jelasnya. 

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda