Bas mini kembali ke KL selepas 21 tahun


shadow

Selepas hampir 21 tahun dihentikan, perkhidmatan bas mini akan membuat kemunculan semula di ibu negara mulai bulan depan.

Rapid KL akan mengadakan perkhidmatan bas mini percubaan dari hab Bukit Indah ke Ampang Point, menerusi Jalan Rasmi dari 1 Sept hingga 29 Nov.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd Muhammad Yazurin Sallij berkata bas mini itu, yang boleh membawa 31 penumpang di dalam setiap bas, akan beroperasi dengan kekerapan 15 minit (waktu puncak) dan 25 minit (luar waktu puncak) dari 5:30 pagi hingga 11:40 malam.

“Ini adalah sebahagian daripada inisiatif Rapid Bus untuk memberi perkhidmatan lebih baik dan kerap kepada penumpang kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perkhidmatan percubaan itu akan membolehkan Rapid Bus menguji kesesuaian penggunaan bas mini di kawasan kejiranan dengan jalan yang sempit selain mendapatkan gambaran sebenar pengalaman perjalanan penumpang menerusi maklum balas yang diterima.

Bas mini merupakan pemandangan biasa di ibu negara dari 1970-an hingga 1990-an dan bas yang sentiasa sesak dengan penumpang itu dianggap sebagai pengangkutan awam paling murah pada masa itu.

Diperkenalkan pada 1975, perkhidmatan itu ditamatkan pada 1998 selepas pihak berkuasa menggabungkan perkhidmatan pengangkutan awam di ibu negara.

“Jika ada permintaan yang menggalakkan semasa perkhidmatan percubaan ini, kami akan menimbangkan untuk mengekalkan perkhidmatan bagi laluan ini dan berkemungkinan memperluaskannya ke laluan lain pula,” kata Muhammad Yazurin.

Para penumpang dialu-alukan untuk memberi maklum balas semasa perkhidmatan percubaan itu dengan menghubungi Rapid KL Helpline di talian 03-7885 2585 atau menghantar e-mel kepada suggest@rapidkl.com.my.

– Bernama

Tinggalkan komen anda