Ambil vaksin sebelum lawat Auckland


shadow

WELLINGTON: Kerajaan New Zealand meminta pelancong mendapat suntikan vaksin campak sebelum melawat bandar Auckland, susulan negara itu berdepan wabak terburuk sejak 22 tahun lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Julie Anne Genter dalam satu kenyataan berkata, pelancong disarankan mengambil suntikan dua minggu sebelum ke Auckland.

“Kanak-kanak berusia 12 bulan ke atas juga perlu mendapatkannya” katanya.

Sebanyak 849 kes campak dilaporkan di New Zealand pada tahun ini dan adalah paling teruk sejak 1997.

Dari jumlah itu, sebanyak 731 kes berlaku di Auckland dan hampir satu pertiga daripadanya dilaporkan sejak dua minggu lalu, lapor Radio New Zealand.

Namun, penularan penyakit itu di luar Auckland terkawal.

Baru-baru ini, kira-kira 300 pelajar Sekolah Tinggi Manurewa dihantar pulang selepas 13 pelajar dijangkiti campak.

Penyakit campak semakin meningkat di seluruh dunia termasuk negara kaya seperti Amerika Syarikat dan Jerman disebabkan ibu bapa menolak vaksin terhadap anak.

-myMetro

Tinggalkan komen anda