Alahai kesiannya dugong…


shadow

TINDAKAN pihak tidak bertanggungjawab menggunakan pukat haram dikenali pukat ikan pari menyebabkan tiga ekor dugong mati lemas dalam tempoh hampir 10 tahun kebelakangan ini.

Pengurus Kelab Alami, Mohammad Irfan Yazid, 21, berkata, dalam kejadian terbaru pada 7.20 malam 31 Julai lalu, seekor dugong ditemui mati oleh nelayan di perairan Tanjung Kupang, Gelang Patah.

Menurutnya, sebaik menerima panggilan telefon daripada nelayan beberapa ahli kelab bergegas ke jeti Pendas Laut yang mana bangkai dugong itu dibawa pulang oleh nelayan berkenaan.

“Kami melakukan bedah siasat pada 3 pagi dan mendapati dugong itu mati akibat lemas kerana tersangkut pada pukat haram dikenali pukat ikan pari.

“Selesai bedah siasat, kami menyerahkan bangkai dugong itu kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut. Ia kematian dugong pertama sepanjang tahun ini.

“Kami sedih kerana masih ramai yang belum sedar, penggunaan pukat ikan pari itu membahayakan dugong dan haiwan lain termasuk penyu.

“Hasil kajian sejak 10 tahun lalu, kini hanya tinggal kira-kira lima dugong di perairan ini,” katanya.

Menurutnya, dalam tempoh sama pihaknya mencatatkan sembilan kematian dugong di kawasan itu dengan tiga disebabkan pukat ikan pari, dua ekor disebabkan kipas enjin kapal dagang manakala selebihnya tidak pasti.

Katanya, Kelab Alami yang ditubuhkan sejak 10 tahun lalu kini dianggotai 15 ahli termasuk sukarelawan dan kakitangan tetap bertujuan membuat penyelidikan berkaitan hidupan laut di sekitar Gelang Patah.

“Kami kelab komuniti kampung yang menjalankan aktiviti kajian dengan bimbingan Prof Jillian Lean Sim Ooi dan Prof Affendi Amri dari Universiti Malaya untuk menjalankan kajian dugong dan hidupan laut.

“Alhamdulillah, kami juga kini bekerjasama dengan Lembaga Pelabuhan Johor dan Jabatan Perikanan yang mana kami berkongsi maklumat diperolehi bagi menyelesaikan masalah dihadapi hidupan laut.

“Kami faham nelayan perlukan sumber pendapatan dan biasanya nelayan tempatan tidak lagi menggunakan pukat itu kerana mereka sendiri melihat beberapa dugong mati akibat pukat berkenaan, namun ia mungkin digunakan nelayan luar kawasan dan ia perlu dihentikan,” katanya.

Menurutnya, dugong memerlukan udara dan tidak boleh menyelam terlalu lama menyebabkan ia sentiasa berenang di permukaan air.

Katanya, disebabkan itu jugalah dugong terdedah dengan bahaya kipas enjin kapal dagang kerana ia berada di permukaan air berbanding ikan lain.

“Jika dugong tidak boleh bernafas, ia akan mati lemas… bunyinya agak lucu namun haiwan itu memerlukan oksigen dan udara, itulah sebabnya apabila tersekat di pukat ia mati akibat lemas,” katanya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda