Akar umbi DAP bantah tulisan Jawi kini sokong penyelesaian terbaru


shadow

Kumpulan akar umbi DAP yang membantah pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi bagi murid Tahun 4 di sekolah Cina dan Tamil berkata ia kini bersedia menerima penyelesaian yang dikemukakan oleh Kementerian Pendidikan.

“Kami, yang menurunkan tandatangan, berpendapat bahawa pengumuman Kementerian Pendidikan pada 14 Ogos mengenai isu khat adalah penyelesaian yang sesuai.

“Ia menjelaskan kekeliruan yang disebabkan oleh kenyataan awal kementerian pada 8 Ogos,” kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani oleh 41 pemimpin di peringkat negeri dan kepimpinan pusat manakala 263 yang lain pada peringkat kepimpinan cawangan dan bahagian, termasuk 12 Adun.

Kumpulan itu pada 31 Julai mengeluarkan satu kenyataan yang membantah pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi dan membidas pemimpin pusat yang mempertahankan dasar berkenaan.

Pelan asalnya kementerian pendidikan mahu memperkenalkan enam halaman pelajaran tulisan Jawi dalam buku teks Tahun 4 Bahasa Melayu tetapi kemudian mengurangkan kepada tiga halaman pada 8 Ogos selepas menerima bantahan keras daripada masyarakat bukan Melayu.

Pada 3 Ogos lalu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengumumkan pelaksanaan pengenalan Jawi akan dibuat secara pilihan dengan guru diberi kuasa menetapkan kaedah pengajaran, serta pengurangan halaman daripada enam kepada tiga muka surat.

Meskipun guru diberi pilihan sama ada untuk mengajar atau pun sebaliknya dengan jaminan ia juga tidak akan dinilai dalam peperiksaan juga, namun ini tetap dibantah, khususnya oleh Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang melancarkan petisyen untuk menggesa agar ia dibatalkan.

Berikutan itu, Kementerian Pendidikan, setelah merujuk kepada kabinet, mengumumkan bahawa pelajaran tiga halaman tulisan Jawi di sekolah-sekolah vernakular akan hanya dilaksanakan jika ia dipersetujui Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa dan murid.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda