Agong tubuh pusat hemodialisis


shadow

PRIHATIN terhadap nasib rakyat yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan rawatan hemodialisis, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menubuhkan pusat hemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) di Cheras, Kuala Lumpur.

Pusat rawatan itu diwujudkan di bawah tajaan YASA, yang juga yayasan amal bukan berasaskan keuntungan ditubuhkan Sultan Abdullah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, dan anakanda Seri Paduka berdua.

“Saya terpanggil untuk menubuhkan pusat ini selepas membaca dalam akhbar bahawa pesakit yang memerlukan rawatan ini begitu ramai, mencecah 7,000 kes baharu setahun, sehingga kerajaan tidak cukup untuk membantu semata-mata.

“Saya juga tahu banyak pesakit mengalami masalah kewangan dan terbeban dengan kos rawatan yang tinggi, jadi saya wujudkan pusat ini untuk ringankan beban mereka,” titah Seri Paduka selepas berkenan merasmikan Pusat Hemodialisis YASA di Cheras hari ini yang turut dihadiri, Tunku Azizah.

Turut sama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan pegawai daripada penaja YASA.

Seri Paduka juga berharap dapat memperluaskan penubuhan pusat hemodialisis itu ke kawasan luar bandar dan menumpukan kepada rakyat daripada golongan B40 dan M40.

Selain itu, Sultan Abdullah turut berharap lebih banyak pihak swasta terbabit dan tampil membantu golongan ini dalam mendapatkan rawatan hemodialisis.

“Ini pusat pertama tajaan saya. Kita cadang hendak buka dua atau tiga pusat setahun, dengan menilai kawasan dan kos dan saya harap lebih ramai pihak babitkan diri dalam usaha ini dan menganggapnya sebagai satu fardu kifayah dan usaha murni,” titah Sultan Abdullah.

Yang di-Pertuan Agong turut bertitah supaya lebih ramai pakar Nefrologi dilahirkan di negara ini bagi memenuhi keperluan pesakit yang semakin meningkat.

“Saya dimaklumkan negara kita kekurangan pakar Nefrologi yang mana statistik diperlukan ialah 20 pakar bagi satu juta rakyat.

“Bagaimanapun, negara ketika ini hanya ada 5.7 pakar bagai sejuta rakyat, jadi mungkin pelajar perubatan boleh tumpu ke arah ini,” titah Seri Paduka.

Pusat Hemodialisis YASA dimiliki sepenuhnya oleh YASA sebelum ini dikenali sebagai Yayasan Istana Abdul Aziz dan diuruskan oleh pengendali hemodialisis berlesen, Sinar Hemodialysis Sdn Bhd yang mempunyai lebih 12 tahun pengalaman.

Pusat yang menempatkan lapan ruang dialisis itu akan beroperasi pada Isnin hingga Sabtu dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.

-myMetro

Tinggalkan komen anda