Pengarah dan pelakon Afdlin Shauki berkata dia sudah bersiap siaga untuk ‘bermati-matian’ demi filem terbaru arahannya yang berkisahkan pengutip hutang di angkasa.
Filem itu dijangka menelan kos sehingga RM10 juta.
Kata Afdlin, bagi melariskan naskhah yang bakal menampilkan gabungan pelakon Hong Kong, Bollywood dan Indonesia itu, dia terlebih dahulu akan cuba mengetengahkan filem berkenaan di festival berprestij di luar negara.
“Memang untuk filem ini, bajet amat besar. Itu sebabnya banyak persiapan nak kena buat.
“Kami kena jual habis-habisan filem ni di luar negara terlebih dulu,” katanya kepada Malaysiakini.
Afdlin ditemui pada sidang media pengumuman teater terbaru lakonannya, Pawana Isabella di Istana Budaya baru-baru ini.
Naskhah arahan Erma Fatima dan Naque Ariffin itu turut membariskan pelakon terkenal lain seperti Syafiq Kyle, Johan Raja Lawak dan Azar Azmi.
Ia akan mula dipentaskan di Istana Budaya bermula hari ini hingga 31 Ogos.
Libatkan negara Asean
Menurut Afdlin, 48, filem terbarunya itu menggunakan latar belakangkan tahun 2065 dan ketika itu Malaysia sudah mencapai taraf negara maju.
Sebagai negara yang memiliki ekonomi kukuh, Malaysia mula meminjamkan wang kepada pihak yang mahu membuka pusat koloni di angkasa.
Namun, ia menimbulkan masalah apabila ada peminjam tidak mahu membayar balik wang tersebut.
Filem berkenaan dijadual memulakan penggambaran pada bulan depan dan peminat mungkin berpeluang menyaksikannya pada minggu ketiga Dis tahun depan.
Antara barisan pelakon yang akan menjayakan filem itu ialah Zizan Razak, Bront Palarae, Awie dan Ako Mustafa.
Baca ‘Saya pun tak mampu cipta komedi selucu ini’
Bagaimanapun, nama pelakon dari Hong Kong, Bollywood dan Indonesia itu akan diumumkan kemudian.
Menurut Afdlin, dia juga bercadang untuk menggunakan khidmat penstriman seperti Netflix dan HBO sebagai sebahagian daripada perancangannya untuk melariskan filem berkenaan.
“Saya nak tunjuk pada syarikat Netflix dan HBO bahawa filem dihasilkan anak Malaysia tetap boleh mempunyai tahap kualiti yang bagus,” katanya.
Berkongsi lanjut perancangannya, Afdlin menjelaskan, filem itu menelan belanja tinggi ekoran ia perlu menggunakan teknik penjanaan komputer (CGI) yang banyak.
“Selain itu, disebabkan ia berkisahkan negara-negara bersekutu Asean, tak logik kalau guna khidmat pelakon Malaysia semata-mata,” katanya.
- malaysiakini
Tinggalkan komen anda