Abdul Hadi: Persaudaraan Islam atasi warga negara


shadow

Presiden PAS Abdul Hadi Awang tampil membela Dr Zakir Naik yang berdepan kritikan susulan kenyataan dibuatnya terhadap kaum Cina dan penganut Hindu negara ini dalam syarahan di Kelantan, minggu lalu.

“…betapa kewajipan kepada penganut Islam mempertahankan agamanya dan melindungi pendakwahnya apabila diancam,” katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Kata Abdul Hadi, hak pendakwah terkenal itu sebagai saudara Islam mengatasi hak warga negara dan negara.

“Jangan merempuh apabila lampu merah menyala, kerana hak persaudaraan Islam itu mengatasi warganegara dan merentasi sempadan negara dan bangsa.

“Inilah hakikatnya, bukannya menghasut,” katanya.

Khamis lepas, Zakir Naik ketika mengulas pertuduhannya di India, berkata rakyat Malaysia beragama Hindu lebih menyokong kerajaan India berbanding Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Zakir juga telah membuat beberapa kenyataan mengenai orang Cina Malaysia memanggilnya sebagai “tetamu lama” .

Zakir mendakwa kenyataannya mengenai rakyat Hindu Malaysia telah dipetik secara salah. 

Bagaimanapun, pendakwah itu belum memberi maklum balas mengenai kenyataannya mengenai rakyat Malaysia Cina.

Menurut Abdul Hadi lagi, PAS sangat menghargai ketegasan Dr Mahathir Mohamad dalam isu Zakir Naik dan memberi jaminan bahawa pendirian perdana menteri itu disokong oleh sejuta ahli PAS yang tidak akan mengizinkan Zakir Naik dibiarkan begitu sahaja.

“Percayalah bahawa ini bukan keputusan peripadi seorang perdana menteri, kerana lebih sejuta ahli PAS tidak mengizinkan Dr Zakir Naik dibiarkan sahaja,” katanya.

Malah, jelasnya, Islam bahkan mewajibkan sesebuah negara melindungi seorang bukan Islam yang dizalimi di negaranya, dan jika tidak mahu diizinkan tinggal di negara sendiri, orang itu wajib diletakkan pula di tempat lain yang aman.

Abdul Hadi juga menempelak umat Islam sendiri yang menurutnya, bising berdengung seperti ‘botol yang sedikit air’, sedangkan mereka tidak mendalami agama sendiri.

“Janganlah pula orang Islam yang tidak mendalami agamanya sendiri, bercakap laksana botol yang sedikit air di dalamnya, maka kuat bunyi yang berdengung sahaja, kalau isinya banyak maka dengungannya tidaklah bising.

“Saya tegaskan bahawa isu Dr. Zakir Naik jangan sampai melanggar lampu isyarat berwarna merah. 

“Hanya orang Islam yang munafik sahaja atau imannya berpenyakit atau hilangnya kemanisan iman di dalam diri, sehingga menjadi laksana orang yang tidak kenal lampu isyarat merah dan hijau,” katanya lagi.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda