Pusat Latihan Aeronautik Bersekutu (AATC) hari ini membuat keputusan untuk membatalkan surat pembuangan bagi dua pelajar dan membenarkan mereka meneruskan pengajian seperti biasa.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kesatuan Pelajar AATC (AATC SU), satu mesyuarat rundingan telah diadakan oleh pihaknya bersama AATC yang dipengerusikan oleh Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran.
“AATC SU telah meminta pihak Kementerian Sumber Manusia untuk memastikan bekas pelajar AATC yang telah “drop out” (diberhentikan) kerana tidak mampu bayar untuk menyambung semula pengajian mereka di AATC.
“AATC SU berterima kasih kepada YB Kulasegaran kerana sudi terlibat dan menyelaesaikan isu pelajar,” katanya.
Selain itu, antara hasil mesyuarat itu juga difahamkan pinjaman pendidikan dari Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) akan diusahakan dalam masa terdekat untuk pelajar AATC.
Terdahulu, media melaporkan lapan pelajar AATC ditahan polis kerana didakwa menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas dalam demonstrasi yang mereka lakukan.
Peserta mendakwa, mereka berdemonstrasi susulan tindakan pihak pengurusan membuang dua pelajar kerana terlibat menubuhkan kesatuan pelajar.
Turut ditahan ialah anggota jawatankuasa pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) Sharan Raj, yang juga penasihat kepada kesatuan pelajar pusat latihan itu.
Hari ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meminta AATC berundingdengan pelajar berkenaan berkaitan ketidakpuasan hati yang membawa kepada demonstrasi tersebut.
- malaysiakini
Tinggalkan komen anda