7 Adun DAP Pahang bidas keputusan kabinet isu Lynas


shadow

Tujuh Adun DAP di Pahang dalam suatu kenyataan bersama menegaskan pendirian membantah pelanjutan lesen operasi kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng, berdekatan Kuatan.

“Kami sangat kecewa dengan keputusan kabinet untuk melanjutkan lesen operasi Lynas selama enam bulan,” kata tujuh Adun itu pada hari ini.

Kenyataan ini menunjukkan perbezaan pendirian dalam gabungan parti pemerimtah kerajaan persekutuan mengenai isu itu.

Ketujuh-tujuh Adun berkenaan ialah Lee Chin Chen (Bilut), Young Syefura Othman (Ketari), Kamache Doray Rajoo (Sabai), Chow Yu Hui (Tras), Chiong Yoke Kong (Tanah Rata), Woo Chee Wan (Mentakab) dan Leong Yu Man (Triang).

“Kami berpendapat bahawa kabinet perlu mendengar pandangan gerakan anti-Lynas.

“Walaupun Malaysia dikekang oleh Konvensyen Basel dan Lynas tidak mematuhi perjanjian mengangkut sisa radioaktif ke luar negara pada tahun 2012, (tetapi) apa yang boleh dan patut dilakukan oleh Malaysia adalah sekurang-kurangnya menghentikan pembaharuan lesen operasi Lynas Corp,” kata mereka. .

Mereka memberi sokongan kepada Anggota Parlimen Bentong Wong Tack yang telah menerajui kempen anti-Lynas.

“Dia menggunakan peranannya sebagai penyokong kerajaan dan juga terus berjuang di luar parlimen untuk menutup kilang Lynas,” kata mereka.

Tujuh Adun itu juga berpendapat keputusan jemaah menteri tidak menghapuskan kebimbangan dan keprihatinan orang ramai terhadap operasi kilang loji nadir bumi yang sedang beroperasi itu.

Bagaimanapun, mereka mengakui lesen Lynas hanya diperbaharui untuk tempoh enam bulan dengan tiga syarat yang lebih ketat daripada yang ditetapkan oleh pentadbiran BN sebelumnya seperti membina kemudahan pelupusan tetap (PDF).

“Sepanjang lapan tahun yang lalu, Lynas telah mengumpulkan sisa radioaktif yang telah melebihi 580,000 tan metrik di kemudahan simpanannya dan yang terdedah kepada ancaman bencana alam seperti banjir.

“Justifikasi ini sahaja sudah mencukupi untuk menolak permintaan Lynas dalam memperbaharui lesen operasinya,” kata mereka lagi.

Mereka juga berkata pembaharuan lesen Lynas merupakan pelanggaran janji ke-39 dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan di bawah judul: “Mengimbangi pembangunan ekonomi dengan perlindungan alam sekitar.”

“Semua undang-undang dan peraturan berkenaan pengurusan dan perlindungan alam sekitar akan disemak semula agar struktur tatakelola yang tepat dapat diwujudkan, selaras dengan zaman moden yang semakin mencabar.

“Peraturan yang ketat akan dikuatkuasakan untuk memastikan Malaysia tidak menjadi tempat pembuangan bahanbahan tercemar oleh syarikat-syarikat dari negara lain,” kata janji pilihan raya PH.

Ketujuh Adun ini juga mempertikaikan kewajaran kerajaan dalam “menghantar semula sisa plastik dari negara asing tetapi membenarkan sisa radioaktif perlombongan nadir bumi untuk kekal di negara ini.”

“Keputusan sedemikian cukup mengecewakan ramai aktivis anti-Lynas yang telah berjuang di barisan hadapan selama lapan tahun yang lalu.

“Mereka ialah penyokong kuat Pakatan Harapan yang percaya bahawa kilang Lynas akan ditutup selepas perubahan kerajaan,” jelas mereka lagi.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda