Teater terapi banduan muda


shadow

TERNGIANG-ngiang nyanyian merdu seorang banduan muda atau juvenil sepanjang perjalanan pulang penulis dari Pusat Koreksional Puncak Alam, Shah Alam menuju ke Bangsar.

Banduan muda itu begitu jujur melontar bait lagu Redha milik Irfan Haris. Jika yang faham erti liriknya, tahulah betapa mendalamnya isi tersirat lagu itu.

Kami berlapan di sekeliling 20 banduan muda juga terdiam ketika dia diminta menyanyi oleh tenaga pengajar sebaik saja selesai melakukan adegan bertengkar antara adik-beradik.

Ada antara kami yang menonton cuba menyorokkan rasa sebak. Malah, usai sesi liputan, penulis dan jurufoto mengakui air mata lelaki kami hampir tertumpah.

“Mereka jujur ketika menyampaikan setiap yang saya ajarkan dalam seni persembahan. Rasa yang diberikan kepada kita sebagai penonton ialah tulen bukan dibuat-buat,” kata jurulatih Seni Budaya Negara (JKKN Selangor), Na’im Azmi.

Beliau mesra disapa Bro Na’im dalam kalangan banduan muda yang menjadi anak didiknya sejak April 2017 hingga kini mengajar seni persembahan teater kepada penghuni tirai besi yang dikhaskan untuk mereka di bawah usia 21 tahun.

Sejak mula bertugas, beliau dihantar mengajar banduan di Penjara Kajang dan kemudian ditempatkan di Pusat Koreksional Puncak Alam yang mula beroperasi pada 2018, khas untuk juvenil lelaki.

Na’im berkata, pembelajaran teater di pusat koreksional itu adalah antara aktiviti dalam Program Bimbingan Seni Budaya kepada banduan hasil kerjasama Jabatan Penjara Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Seni Negara (JKKN) sejak 2016 .

“Sebelum ini, saya pernah mengajar pelbagai kumpulan masyarakat yang berminat di dalam bidang ini. Apabila dimaklumkan perlu mengajar golongan banduan, saya menjadi lebih teruja.

“Jujurnya, dari segi komitmen dan disiplin sebagai pelajar, orang di luar tirai besi tidak mampu melawan kemampuan mereka. Mereka tidak melatah apabila ditegur, apatah lagi ingin berkasar kepada saya. Kami seperti adik beradik,” katanya.

Na’im, berkata, aktiviti pembelajaran teater di pusat koreksional itu biasanya bermula 2.45 hingga 6 petang setiap Jumaat.

Sebaik keluar dari pintu pagar yang memisahkan antara blok penempatan banduan dan blok yang menjadi lokasi latihan iaitu Blok Akademi, mereka perlu berkawad dan melaporkan diri kepada pegawai penjara yang bertugas.

Mukadimah sebelum latihan adalah aktiviti memanaskan badan dengan mengadakan senaman ringan. Kemudian, mereka mengadakan sesi menajamkan vokal dengan mengikuti teknik yang diajarkan Na’im.

Tiada perasaan malu banduan muda itu berlatih meskipun ada tetamu asing di sekeliling mereka.

Kami dipertontonkan dengan persembahan ringkas mengenai kisah empat anak yang tidak mempedulikan seorang bapa yang cacat.

Sebaik saja Na’im memberi arahan mula, watak bapa cacat yang dibawa oleh banduan berbangsa India itu seolah-olah menunjukkan keadaan orang cacat yang sebenar.

Empat anaknya bertengkar antara satu sama lain. Tanpa skrip, dialog dilontarkan bersama gaya persembahan tidak ubah seperti pelakon profesional. Amat memukau dan layak diberi tepukan gemuruh.

BANDUAN menghayati watak ketika menjalani latihan teater. FOTO Saddam Yusoff

Jadi bukan sesuatu yang menghairankan apabila kumpulan teater itu berjaya merangkul naib johan dalam Festival Kesenian Kebudayaan Sekolah-Sekolah Integriti dan Henry Gurney Malaysia 2018 di Penjara Sungai Petani, Kedah.

Selain itu, mereka juga tersenarai di peringkat akhir semasa Pertandingan Teater Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka KL pada Jun lalu.

Banduan juvenil, Aben (bukan nama sebenar) berkata, kelas teater itu banyak memberi manfaat kepada dia.

“Kita perlu menjiwai watak diberikan. Apabila menjiwai, watak itu menjadikan saya boleh berfikir sama ada baik atau tidak untuk diri seorang manusia.

“Saya tidak pernah belajar mengenainya ketika di luar sana. Apabila dipilih mengikuti kelas ini, ia menjadi terapi yang baik untuk membina sahsiah diri sebenarnya,” katanya.

Aben dimasukkan ke Penjara Kajang pada usia 17 tahun akibat jenayah mengedar ganja dan dijatuhkan hukuman tujuh tahun penjara dan enam sebatan.

Kini, Aben sudah berusia 21 tahun, bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.

WARTAWAN menemubual Aben. FOTO Saddam Yusoff

Bagi Am (bukan nama sebenar), 20, yang dijatuhi hukuman penjara kerana samun bersenjata, mengakui program pembelajaran teater dapat memberi kesan positif kepada dia dan rakan banduan yang lain dalam pelbagai aspek.

“Memandangkan kami berada di penjara dalam tempoh yang lama, masalah kemurungan boleh berlaku. Aktiviti teater boleh menjadi terapinya kerana kita mengisi waktu lapang dengan perkara yang berfaedah.

“Selain itu, saya juga berminat untuk meneruskan aktiviti ini apabila dibebaskan kelak,” kata anak kelahiran utara itu.

Sementara itu, Pegawai Psikologi Pusat Koreksional Puncak Alam, Luqman Mohd Yusof berkata, program bimbingan seni membabitkan banduan memberi kesan yang baik dari segi membentuk emosi dan kelakuan pesertanya.

“Di penjara kita mempunyai pelbagai aktiviti pembangunan sahsiah seperti kegiatan membabitkan keagamaan, sukan dan seni budaya juga antara yang dilihat mampu menjadikan banduan juvenil dapat menilai diri mereka sendiri.

“Pesalah muda ini, mereka dalam fasa menghargai keseronokan jadi apabila kita mengajar sesuatu yang menyeronokkan mereka akan hargai dan membentuk diri mereka secara tidak langsung,

-myMetro


Tinggalkan komen anda