4,000 kg daging karkas babi dirampas


shadow

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 4,000 kilogram (kg) daging karkas babi hutan bernilai RM40,000 dalam dua serbuan berasingan di Pengkalan Haram Mentua serta Pengkalan Haji Rashid, Tumpat hari ini.

Serbuan 2.40 pagi dan 7.30 pagi itu turut menahan dua lelaki yang juga tekong bot berusia 50-an yang dalam perjalanan membawa bahan itu ke negara jiran.

Pengarah JKDM Kelantan, Mohd Rakbi Mat Saud berkata, serbuan oleh Cawangan Penguatkuasaan Pengkalan Kubor di Pengkalan Haram Mentua menahan bot ikan yang dipandu lelaki warga tempatan.

Katanya, pemeriksaan merampas 2,800 kg daging karkas yang diletakkan dalam bekas ditutup dengan kanvas bernilai RM28,000.

“Selain itu, kita turut merampas bot ikan bernilai RM30,000.

“Dalam serbuan kedua kita menahan bot enjin galah dan menahan lelaki warga Thailand.

“Hasil pemeriksaan di bot itu menemui daging karkas babi hutan 1,200 kg bernilai RM12,000,” katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Pengkalan Kubor, Tumpat hari ini.

Beliau berkata, turut dirampas bot enjin galah bernilai RM4,000 dan jumlah keseluruhan rampasan RM74,000 termasuk bot.

Katanya, daging karkas babi hutan itu diambil dari Terengganu secara sah untuk pasaran di Kelantan namun sindiket membawa keluar untuk pasaran Thailand.

“Ia disebabkan di negara jiran mendapat permintaan tinggi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan operasi pada masa akan datang bagi membendung kegiatan penyeludupan daripada terus berleluasa di seluruh Kelantan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penyeludupan dan berkaitan premis perniagaan yang menyimpan, memiliki dan mengangkut rokok seludup atau barang seludup boleh melaporkannya kepada JKDM melalui talian aduan penyeludupan 1800888855 atau 097411100.

-myMetro

Tinggalkan komen anda