Zaid: Takut pada orang korup dan tamak, bukan kaum lain


shadow

Bekas menteri di jabatan perdana menteri Zaid Ibrahim berkata kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memperkenalkan dasar-dasar yang lebih progresif adalah disebabkan ketakutan tidak berasas kepada golongan bukan Melayu.

Beliau berkata ketakutan itu menghalang perubahan dalam bidang pendidikan yang boleh mengubah ekonomi, seperti sistem meritokrasi dan penggunaan bahasa Inggeris.

“Tak mengapa untuk takut kepada orang yang korup dan tamak.

“Tetapi tolonglah, mari kita melangkah ke depan untuk membina negara dan tidak dikekang dengan prasangka lama,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.Iklan

Zaid berkata demikian ketika mengulas ciapan di Twitter bahawa beliau tidak tahu mengapa orang Melayu begitu takut terhadap kaum India dan Cina.

“Sebilangan minda terbaik di dunia adalah orang Cina dan India. Kita boleh belajar banyak perkara daripada mereka. Orang yang perlu kita waspada adalah golongan yang tamak,” katanya.

Selapas pilihan raya umum (PRU) lalu kerajaan dilihat gagal melaksanakan beberapa perkara berkaitan janji reformasi kerana takut dengan reaksi orang Melayu yang membentuk majoriti pengundi.

Antaranya keputusan untuk menarik balik penyertaan dalam Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) dan Statut Rom.

Selain itu kerajaan juga dilihat tersekat di tengah-tengah dalam soal Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan kuota kemasukan matrikulasi.

Sebagai penyelesaian isu matrikulasi, kerajaan baru-baru ini memutuskan untuk meningkatkan jumlah pengambilan pada masa sama mengekalkan kuota 90 peratus untuk pelajar bumiputera dan sepuluh peratus untuk pelajar bukan bumiputera.

Umno dan PAS juga secara konsisten mendakwa kerajaan gagal melindungi hak-hak Melayu dan Islam, selain mendakwa DAP mendominasi pentadbiran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Pemimpin DAP menafikan dakwaan itu tetapi kini dilihat kurang lantang dalam isu berkait kaum dan agama berbanding ketika masih sebagai pembangkang.

Bagaimanapun rating sokongan terhadap Mahathir baru-baru ini meningkat daripada 46 peratus pada Mac lalu kepada 55 peratus pada Jun.

Kajian Merdeka Centre itu juga menunjukkan sentimen sokongan di kalangan orang Melayu terhadapnya juga meningkat daripada 34 peratus (Mac) kepada 50 peratus (Jun), dan di kalangan orang Cina meningkat daripada 61 kepada 71 peratus untuk tempoh sama.

Bagaimanapun sentimen sokongan orang India menurun enam peratus daripada 80 peratus pada Mac kepada 74 peratus pada Jun.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda