Usul wajibkan senator isytihar aset dilulus Dewan Negara


shadow

PARLIMEN | Usul mewajibkan semua senator mengisytiharkan harta kepada speaker dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam tempoh tiga bulan, diterima Dewan Negara hari ini.

Dalam undian belah bahagi yang dijalankan usul itu disokong 34 anggota Dewan Negara berbanding 23 yang menolaknya.

Undian itu dijalankan selepas 17 senator mengambil bahagian membahaskan usul tersebut hari ini.

Pada 1 Julai lalu Dewan Rakyat meluluskan usul mewajibkan semua anggota parlimen mengisytiharkan aset masing-masing melalui undian suara.Iklan

Usul tersebut diluluskan selepas speaker, Mohamad Ariff Md Yusof, memberikan masa selama lima jam kepada anggota parlimen membahaskannya.

Untuk undian hari ini, senator lantikan PH dilihat hadir beramai-ramai bagi memberikan sokongan dan memastikan ia diluluskan.

Untuk rekod, ketika ini jumlah senator lantikan PH memiliki majoriti tipis berbanding anggota Dewan Negara lantikan kerajaan BN.

Pada Sept 2018, usul memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar gagal diluluskan di peringkat Dewan Negara walaupun ia mendapat laluan di Dewan Rakyat.

Mahu kukuhkan peraturan lain

Ketika itu Dewan Negara masih dikuasai oleh senator lantikan BN. Komposisi itu kemudian berubah dari semasa ke semasa apabila mandat senator lantikan BN berakhir dan tokoh lain dilantik mengisi kekosongan yang ditinggalkan.

Semasa usul didebatkan hari ini, Khairul Azwan Harun, menjadi pembahas pertama.

Beliau ialah bekas timbalan ketua Pemuda Umno dan anggota majlis tertinggi parti itu.

Kata Khairul Azwan ada banyak cara lain yang boleh diambil kerajaan untuk mengukuhkan integriti anggota parlimen selain mewajibkan mereka mengisytihar harta masing-masing.

Khairul Azwan

Katanya BN juga mempunyai kod etika tersendiri untuk anggota parlimen sejak 2014.

Justeru menurut Khairul Azwan apa yang dilakukan kerajaan sekarang lebih bersifat memberikan jenama baru selain menjadi strategi PH untuk menunjukkan gabungan itu menjuarai isu integriti.

“Saya cadangkan kita tolak usul ini dan sebaliknya kita perkukuhkan undang-undang lain seperti yang ada bawah SPRM yang lebih penting,” katanya.

Beliau yang turut dikenali sebagai Azwan Bro juga sempat membangkitkan isu keselamatan ke atas senator yang memiliki kemewahan sebelum dilantik menjadi anggota Dewan Negara jika pengisytiharan tersebut diwajibkan.

Sementara itu senator dari Amanah, Raj Munni Sabu, bertanya mengapa Khairul Azwan begitu membantah usul tersebut dan ia boleh memberi tanggapan buruk terhadap anggota Dewan Negara.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda