Saya nak jumpa orang langgar saya!


shadow

“SAYA cuma nak dia datang tengok keadaan saya sekarang ini. Saya sakit terlantar, saya tak boleh nak buat semua benda sendiri, tak boleh nak bercakap, tak boleh nak bergerak sendiri.”

Itu luahan remaja, Muhamad Nur Hafizam Azli, 16, atau Hafizam yang menjadi mangsa langgar lari di Ipoh, pada 28 Ogos tahun lalu.

Menerusi perkongsiannya di Twitter yang tular sejak dua hari lalu, Hafizam yang mengalami cacat kekal akibat nahas itu hanya mahu individu yang melanggarnya bersemuka dan meminta maaf.

“Bila dia dah datang tengok saya nanti, takkan dia langsung tiada rasa belas kasihan dekat saya, kan? Jadi sebab itu saya nak jumpa dia.

“Sekarang saya sudah sedar, 11 bulan saya terlantar.Saya nak orang yang langgar saya, datang minta maaf,” luah Hafizam.

Bekas pelajar sebuah Maahad Tahfiz di Parit ketika dihubungi Harian Metro itu berkata, sejak dari dia berada dalam keadaan koma di Unit Rawatan Rapi (ICU) sehinggalah ke hari ini, individu itu terus menghilangkan diri.

Menurutnya, setakat ini dia hanya mampu menggerakkan anggota tangan sebelah kanan saja, namun tidak berupaya untuk menulis kecuali menaip.

“Keluarga sudah pun membuat laporan polis mengenai nahas menimpa saya, namun belum ada perkembangan terbaru setakat ini,” katanya lagi.

Pada kejadian yang berlaku pada 28 Ogos 2018, Hafizam yang menunggang motosikal dilanggar sebuah kereta dipercayai jenis Mazda di pusingan ‘U’ berhampiran Klebang Restu, Ipoh.

-myMetro

Tinggalkan komen anda