Putrajaya segerakan projek sekolah daif Sarawak


shadow

Kerajaan Persekutuan akan menyegerakan proses perolehan dan perbelanjaan sehingga RM350 juta untuk fasa pertama projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak sebaik sahaja kerajaan negeri membuat bayaran balik hutang sebanyak RM350 juta, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Menurut Lim dalam satu kenyataan hari ini, kerajaan Sarawak masih berhutang dengan kerajaan Persekutuan sebanyak RM2.352 bilion setakat 30 Jun lalu.

Lim berkata kerajaan Persekutuan pada dasarnya bersetuju untuk menerima sebahagian daripada bayaran balik pinjaman hutang kerajaan Sarawak sebanyak RM1 bilion untuk diperuntukkan bagi membaik pulih sekolah daif, yang tertakluk kepada mekanisme perundangan yang ditetapkan.

Menurutnya, kerajaan Sarawak hendaklah membayar balik sehingga RM1 bilion daripada jumlah hutangnya kepada kerajaan Persekutuan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Persekutuan.Iklan

“Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan jumlah sama seperti yang dibayar balik oleh kerajaan negeri sebagai peruntukan untuk digunakan bagi projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata kerja membaik pulih sekolah daif di Sarawak hendaklah ditawarkan secara tender terbuka bagi memastikan ketelusan dan nilai berpatutan (value for money) berdasarkan tatacara kewangan kerajaan Persekutuan semasa.

“Kerajaan Persekutuan bersedia mengambil kira keutamaan kerajaan Sarawak dalam menentukan sekolah daif untuk dibaik pulih,” katanya.

Laksanan sebelum hujung tahun

Menurut Lim, kriteria itu dipersetujui oleh kerajaan Sarawak dalam surat Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg kepadanya yang diterima pada 15 Julai 2019.

Lim turut menjelaskan sebagai bayaran balik pinjaman kepada kerajaan Persekutuan, ia bermaksud bahawa dana RM1 bilion tersebut sebenarnya merupakan wang milik kerajaan Persekutuan, yang dipersetujui untuk digunakan bagi membaik pulih sekolah daif di Sarawak.

“Sekiranya RM1 bilion dibayar balik oleh kerajaan negeri Sarawak, kerajaan negeri itu masih berhutang kerajaan Persekutuan sebanyak RM1.352 bilion,” katanya.

Lim dalam pada itu berkata Ketua Menteri Sarawak menyatakan kesediaan untuk menyalurkan bayaran balik pinjaman fasa pertama sebanyak RM350 juta dalam tempoh terdekat.

“Selepas itu, beberapa perkara harus dimuktamadkan antaranya jadual pelaksanaan, senarai sekolah dan proses tender bagi projek tersebut,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Kewangan yakin proses tender bagi fasa pertama projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak itu akan dilaksanakan sebelum hujung ini.

– Bernama

Tinggalkan komen anda