Polis tahan ‘raja dadah’, rampas dadah bernilai RM6 juta


shadow

Raja Dadah, atau juga dikenali sebagai ‘Kingpin’ adalah antara 18 ahli sindiket dadah yang ditahan dalam beberapa serbuan polis di sekitar Lembah Klang dan Johor pada Jumaat dan Sabtu lepas, yang turut menyaksikan polis merampas lebih 70 kilogram dadah pelbagai jenis yang dianggar bernilai lebih RM6 juta dirampas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Mohd Khalil Kader Mohd, berkata dalam kes pertama lima suspek ditahan dalam lima serbuan di sekitar Lembah Klang dan Johor antara pukul 5.10 petang dan 6.20 petang.

Beliau berkata antara yang ditahan dalam serbuan yang melibatkan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman itu adalah kingpin berkenaan.

“Semua mereka ini berusia antara 32 dan 48 tahun dan seorang daripada mereka positif dadah. Menerusi lima serbuan itu, pelbagai jenis dadah dirampas termasuk syabu seberat 64.5kg, ketamin seberat 2.7kg dan 77,500 pil ekstasi dengan nilai keseluruhan RM5.8 juta,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Semenyih hari ini.Iklan

Menurutnya polis turut merampas lima kenderaan mewah, wang tunai pelbagai mata wang dan barang-barang kemas bernilai lebih RM400,000 dalam sebuan itu.

Bagi kes kedua, Mohd Khalil berkata polis berjaya membongkar sebuah makmal memproses dadah disyaki ketamin di Melaka dan hasil daripada itu, empat serbuan dijalankan di Kuala Lumpur.

“Kami menahan 13 ahli sindiket warga tempatan berusia antara 19 dan 51 tahun yang terdiri daripada lapan lelaki dan lima wanita. Tiga daripadanya mempunyai rekod jenayah manakala sembilan didapati positif dadah.

“Polis turut merampas pelbagai jenis dadah termasuk ketamin seberat 13.4kg, 57 pil ekstasi dan syabu seberat 592 gram dengan nilai keseluruhan RM836,000,” katanya.

Beliau berkata polis turut menyita tujuh kenderaan, tiga jam tangan berjenama, wang tunai RM3,200 dan pelbagai jenis barang kemas serta barang-barang elektronik bernilai RM320,000.

Bernama

Tinggalkan komen anda