Polis kata rakaman CCTV hotel dah dipadam – Farhash


shadow

Setiausaha Politik Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador menceritakan pengalamannya selama lapan hari ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung video seks sejenis yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali.

Antara lain, Pengerusi PKR Perak itu mendakwa beliau telah bertanya kepada polis mengenai rakaman CCTV di Hotel Four Points di Sandakan, Sabah di mana hubungan seks itu didakwa berlaku.

“Apabila saya tanya kepada mereka mengenai rakaman CCTV di Four Points yang jelas akan menunjukkan sama ada kedua-dua tertuduh memasuki bilik yang sama, polis kata rakaman itu telah dipadam.

“Satu fakta untuk dilontar kembali bagi persoalan mengenai konspirasi,” katanya.Iklan

Farhash, yang juga Setiausaha Politik Anwar Ibrahim berkata beliau disiasat di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana “menggalakkan” persetubuhan luar tabii antara dua lelaki.

Seksyen 377B Kanun Keseksaan merujuk kepada kesalahan melakukan hubungan seks luar tabii secara sukarela.

Manakala Seksyen 108 dan 109 Kanun Keseksaan pula berkaitan perbuatan subahat untuk melakukan sesuatu perbuatan dengan cara yang salah.

“Dalam erti kata lain, saya dituduh menggalakkan dua lelaki untuk mengambil bahagian dalam aktiviti homoseksual seolah-olah saya menjadi tukang sorak mereka,” katanya.

Menurutnya, perkara itu didedahkan semasa pendengaran reman di Mahkamah Majistret awal bulan ini.

‘Polis turut simpati’

Semasa penahanannya, Farhash berkata beliau menegaskan dirinya tidak bersalah, malah beberapa pegawai polis turut bersimpati dengannya.

“Sentimen daripada pegawai polis yang bekerja keras ini ialah penangkapan saya adalah konspirasi politik.

“Siri soalan yang ditanya tidak berkaitan dengan video atau edaran apa-apa bahan haram. Ia lebih menjurus kepada jika saya tahu beberapa nama yang disebutkan dan apabila saya merasa tidak pasti, saya menjalankan hak perlembagaan saya.

“Saya berada di bawah tanggapan bahawa perintah reman saya adalah untuk memudahkan siasatan berdasarkan fakta dan tidak mengesahkan beberapa teori konspirasi yang lemah,” katanya.

Selain Farhash, polis turut menahan beberapa individu termasuk bekas ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Rahman.

Haziq mendakwa dirinya adalah individu yang melakukan hubungan seks sejenis dengan Azmin seperti dipaparkan dalam rakaman video yang diedarkan pada Jun lalu.

Beliau mendakwa hubungan seks itu dirakam tanpa pengetahuannya di sebuah bilik hotel pada pilihan raya kecil Sandakan pada Mei lalu.

Minggu lalu, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mengesahkan video seks berkenaan adalah tulen namun proses pengecaman wajah adalah negatif untuk mengaitkan salah seorang pelaku dengan Azmin.

Beliau juga mendedahkan kewujudan konspirasi untuk merosakkan reputasi menteri yang didalangi oleh pemimpin sebuah parti politik.

Malaysiakini sedang menghubungi Hamid untuk mengulas kenyataan terbaru Farhash.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda