MP Dungun cedera disamun, rugi RM26,000


shadow

Hasratnya mahu membayar harga tempahan lembu untuk hari raya korban nanti, namun malang menjengah Anggota Parlimen Dungun, Wan Hasan Mohd Ramli, apabila beliau disamun petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, Wan Hasan dilaporkan dihampiri dua lelaki bermotosikal berhampiran sebuah bank di Jalan Baru Pak Sabah.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Baharudin Abdullah, berkata ketika itu wakil rakyat PAS berkenaan baru saja mengeluarkan wang berjumlah RM26,000.

Selepas mengeluarkan wang tersebut, katanya, Wan Hasan masuk ke keretanya yang diletakkan di kawasan berhampiran untuk pulang ke pejabat.Iklan

“Bagaimanapun, seorang lelaki berusia lingkungan 20-an tiba-tiba masuk ke bahagian tempat penumpang hadapan sebelum mengambil beg mengandungi wang berkenaan.

“Mangsa cuba menyelamatkan beg itu daripada dilarikan suspek sehingga berlaku pergelutan antara mereka, namun lelaki terbabit melarikan diri dengan motosikal yang ditunggang rakan sejenayahnya,” katanya seperti dipetik BH Online.

Selepas kejadian samun itu, Wan Hasan, 62, yang mengalami kecederaan di kaki dan tangan kanan mendapatkan rawatan di Hospital Dungun.

Sebelum itu beliau membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun.

Tambah Baharudin, polis sedang menjalankan siasatan termasuklah mengambil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera ketika melakukan samun”, katanya.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda