MCA gesa Liew jelaskan ‘pembohongan’ kes jam tangan mewah


shadow

Presiden MCA Wee Ka Siong menggesa menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong menjelaskan alasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi pelepasan terhadap setiausaha politik Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang sebelum itu disiasat berhubung jam tangan mewah.

Pada Khamis lalu, Liew memberitahu Dewan Negara bahawa SPRM melepaskan setiausaha politik itu, Ahmad Sabki Yusof, kerana dia dapat menjelaskan punca wang untuk membeli jam tangan itu.

Bagaimanapun, sepucuk surat bocor yang dilihat Malaysiakinimenunjukkan Sabki mengaku menerima hadiah seutas jam tangan mewah.

SPRM turut menjelaskan telah menghantar kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) awal bulan ini.Iklan

Justeru, Wee menyifatkan Liew berbohong kepada Dewan Negara berhubung perkara itu.

“Ini sangat memalukan, memandangkan Liew telah diberi kepercayaan untuk menjadi seorang menteri undang-undang.

“Jadi, jika Liew gagal memberikan penjelasan yang memuaskan, paling bagus dia letak jawatan saja,” katanya dalam satu kenyataan Facebook.

Senator Barisan Nasional (BN) Ibrahim Shah Abu Shah membangkitkan isu itu kepada Liew Khamis lalu, turut berkongsi pandangan senada.

“Elok menteri (Liew) jelaskan balik kedudukan isu ini dalam Dewan Negara.

“Jelaskan yang mana satu betul, takut-takut kerajaan main wayang atau nak selindungi (kes ini), macam biasa,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Katanya lagi, Liew mungkin juga akan “buat tidak tahu” terhadap perkara tersebut memandangkan kini mempunyai kuasa sebagai menteri.

Memberikan kenyataan yang salah dalam Parlimen adalah satu kesalahan yang serius. Di Dewan Rakyat, memberikan kenyataan yang mengelirukan dewan dianggap sebagai suatu perbuatan keji dan boleh dikenakan tindakan disiplin.

Dewan Negara tidak mempunyai peraturan serupa. Bagaimanapun, ada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang memantau perkara-perkara yang mungkin menjejaskan kuasa dan kebebasan Dewan Negara.

Sabki ditahan oleh SPRM pada 1 April lalu kerana disyaki menerima satu jam tangan mewah, tetapi dilepaskan empat hari kemudian. Dia disiasat bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM.

Pada April juga, menteri pertanian, Salahuddin Ayub menafikanwujudnya projek pembangunan yang mendorong SPRM menyiasat setiausaha politiknya itu.

Dalam surat kepada Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) Abu Kassim Mohamed yang dilihat Malaysiakini, Ahmad Sabki Yusof mengaku jam tangan itu sebagai pemberian.

Bagaimanapun, dakwanya, unit integriti kementerian itu bertindak tidak adil kepadanya kerana menuduhnya menerima rasuah selepas dia membuat pengisytiharan menerima jam itu pada 25 Julai 2018.

Tuduhan rasuah itu dinafikan oleh Sabki. 

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda