Jakoa siasat dakwaan ubah suai MyKad Orang Asli jadi Islam


shadow

Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) memandang serius laporan yang mendakwa kad pengenalan masyarakat Orang Asli diubah suai bagi menunjukkan status agama mereka sebagai ‘Islam’ walaupun mereka tidak pernah mendaftarkannya atau mengucap kalimah syahadah.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana sebagai rakyat Malaysia mereka mempunyai hak atau kebebasan untuk menganuti mana-mana agama seperti yang termaktub dalam perlembangaan negara, kata Ketua Pengarah Jakoa, Profesor Dr Juli Edo dalam satu kenyataan hari ini.

Juli mengulas laporan sebuah portal yang memetik penduduk Kampung Sungai Papan, Anjang Aluej sebagai berkata bahawa penduduk kampungnya diberikan MyKad yang menyatakan agama mereka sebagai Islam oleh Jabatan Pendaftaran Negara, walaupun tidak pernah menukar agama atau melafazkan kalimah syahadah.Iklan

Seorang lagi masyarakat puak Temiar, Jamal Endi dari Kampung Ong Gelmol, berkata tambahan ‘bin’ dimasukkan dalam kad pengenalannya, walaupun dia bukan beragama Islam.

“Kita perlu memelihara hak individu terutamanya berkaitan dengan masyarakat Orang Asli kerana mereka merupakan kaum minoriti di Malaysia dan hak dan kebebasan mereka perlu dihormati.

“Jakoa memohon agar pihak berkenaan lebih peka mengenai perkara ini sewaktu melakukan pendaftaran kad pengenalan dan mengambil inisiatif untuk menyelesaikan isu ini dengan segera serta memastikan kejadian seperti ini tidak berulang di masa hadapan,” kata Juli.

Bulan lalu, Juli membidas rancangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang menyasarkan untuk mengislamkan semua Orang Asli di Kelantan dalam tempoh 30 tahun lagi.

Timbalan Yang Dipertua MAIK Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi sebelum ini dilaporkan berkata, setakat ini hanya 5,000 dari 16,000 Orang Asli di pedalaman negeri itu yang menganut agama Islam. 

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda