Isu warga Afrika: Iskandar perjelas maksud ‘samseng Kg Dusun’


shadow

Bekas naib presiden PAS, Iskandar Abdul Samad menjelaskan maksud tiada lagi “samseng Kampung Dusun” yang disebut beliau pada siri hantaran di media sosialnya.

Iskandar yang juga mantan exco kerajaan negeri Selangor berkata, “samseng Kampung Dusun” yang dimaksudkannya itu merujuk perihal pihak mengambil berat mengenai sesuatu perkara yang berlaku dalam masyarakat.

“Dulu di kampung ada yang bertanggungjawab mengambil tahu perihal masyarakat, prihatin masalah dalam kampung. Jika ada sesuatu yang tidak kena ada yang berani tegur.

“Sekarang dalam masyarakat kita khususnya di bandar tiada lagi pihak yang ambil tahu perihal masyarakat. Itu yang saya maksudkan dengan ‘samseng Kampung Dusun’.Iklan

“Hari ini dalam kehidupan di bandar kita tak peduli lagi tentang masyarakat,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Melalui siri ciapan di Twitternya, Iskandar menulis: 

“Kehadiran warga Afrika manjadi isu panas. Semasa menjadi Exco pernah turun di flat kos rendah di Cheras di mana warga Afrika berkumpul di kedai minum dan membuat bising hingga larut malam. Saya pula terpaksa bagi ‘warning’ sebab orang tempatan tak berani. Kita tiada lagi Samseng Kampung Dusun”.

“Semasa masih YB pernah tahan dua orang warga Afrika jalan-jalan di Kampung Pandan. Saya tanya cari siapa mereka kata saja jalan-jalan. Mereka macam marah tetapi saya suruh mereka pergi stesen LRT dan balik. Kalau ada Sarip Dol Samseng Kampung Dusun orang luar tak berani masuk kampung tak tentu pasal,” kicaunya.

‘Isteri orang tempatan dilarikan’

Untuk rekod, Shariff Dol ialah pelakon Melayu era 1950an dan 60an yang membawakan watak samseng Kampung Dusun dalam filem arahan P Ramlee, Seniman Bujang Lapok, terbit pada 1961.

Semalam, dilaporkan tiga anggota dan seorang pegawai polis diserang sekumpulan lelaki Afrika dalam operasi di pangsapuri Flora Damansara, Petaling Jaya, pada Khamis.

Kesemua anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya itu diserang ketika cuba menahan seorang lelaki Nigeria yang disyaki terlibat dalam kes penipuan ‘Afican scam’.

Kejadian pada pukul 11 malam itu menyebabkan seorang anggota polis cedera di muka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat mengesahkan kejadian itu dan berkata polis telah menahan 10 lelaki Afrika bagi membantu siasatan lanjut.

Ciapan Iskandar itu dipercayai merujuk kepada insiden berkenaan.

Dalam pada itu, mengulas lanjut Iskandar berkata disebabkan sikap tidak peduli masyarakat hari ini menyebabkan berlaku kejadian yang tidak diingini seperti isteri orang tempatan dilarikan warga Afrika.

“Pokoknya kita perlu balik kepada isu moral dan perlu ada sikap tanggungjawab sesama kita dalam masyarakat,” katanya.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda