Hantaran hina nabi: Jangan uji kesabaran kami, kata Pemuda PAS


shadow

Pemuda PAS Kelantan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera menyiasat pemilik Facebook dikenali sebagai Wendy Loong yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Husaimi Hussian, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa lain perlu menyiasat identiti di sebalik pemilik akaun Facebook Wendy Loong berkenaan.

“Jika akaun Facebook Wendy Loong benar, maka siasatan dan tindakan boleh diambil mengikut akta yang sesuai seperti Syeksen 298A Kanun Keseksaan, atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan multimedia (AKMM) 1998.

“Kami juga menggesa supaya pihak berkuasa menyiasat pengendali grup yang membenarkan siaran menghina Islam melalui kumpulan tersebut,” katanya.Iklan

Terdahulu, Husaimi bersama pimpinan Pemuda PAS negeri membuat satu laporan polis terhadap akaun Facebook tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, hari ini. 

Menurutnya, Pemuda PAS mendapati hantaran pemilik akaun bernama Wendy Loong itu menghina Islam yang dimuatkan di sebuah grup Facebook.

“Kami tidak berpuas hati dan amat marah atas posting Wendy Loong kerana menyentuh sentiviti agama Islam dan keharmonian perpaduan negara.

“Sebagai masyarakat Malaysia, kita wajib menghormati semua agama yang dianuti penduduk negara ini, apatah lagi Islam adalah agama rasmi negara,” jelasnya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan persekutuan mesti bertegas dan mengeluarkan amaran keras kepada semua pihak atau individu agar menjaga kesucian Islam sebagai agama rasmi negara.

“Justeru, kami mengharapkan kerajaan serius menangani isu ini dan memastikan kes sebegitu tak berulang lagi.

“Pemuda PAS Kelantan tidak akan berdiam diri dengan apa sahaja bentuk cubaan untuk menghina Islam.

“Kami sanggup menjadi benteng yang akan mempertahankan Islam pada setiap masa dan keadaan. Jadi jangan menguji kesabaran kami dan umat Islam,” tegas Husaimi.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda